suria

Kawasan Bukit Antarabangsa selamat? Diketahui minggu depan - MB

KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR), Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) serta pakar geologi yang ditugaskan memantau kawasan Bukit Antarabangsa dan sekitarnya memerlukan tempoh 10 hari untuk membuat kajian bagi memastikan sekiranya kawasan itu selamat untuk didiami.

"Walaupun dalam keadaan hujan dan berisiko lebih tinggi, pihak berkenaan menyatakan bahawa 10 hari adalah tempoh masa yang munasabah untuk mereka menyediakan jawapan sama ada kawasan ini berisiko atau tidak," kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Bercakap kepada pemberita semalam, beliau berkata JKR, Ikram serta pakar geologi itu sudah memulakan kajian mereka hari ini dengan menempatkan pelbagai peralatan mereka di kawasan berkenaan.

Katanya bagi tempoh jangka panjang, kerajaan Selangor akan mengarahkan supaya pemantauan dibuat di seluruh penempatan berhampiran lereng bukit, terutama di sekitar Kajang dan Hulu Selangor.

Beliau berkata, hasil pemantauan yang mengambil masa tidak lebih daripada tiga bulan itu akan didedahkan kepada penduduk di kawasan tersebut, di mana penduduk akan dimaklumkan mengenai tahap risiko kediaman mereka serta bagaimana cara mengatasinya.

Kejadian tanah runtuh awal pagi Sabtu lalu yang mengakibatkan 14 buah banglo Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama di Bukit Antarabangsa tertimbus sehingga kini mengakibatkan empat orang terbunuh.

Artikel Lain