suria

Aidiladha disambut berbeza 500 penduduk Bukit Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Walaupun Aidiladha tahun ini tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya, namun bagi lebih kurang 500 penduduk di sekitar Bukit Antarabangsa yang terkandas berikutan tragedi tanah runtuh, mereka tetap meraikannya.

Dalam keadaan serba kekurangan tanpa bekalan elektrik dan air, lebih kurang 100 penduduk menuju ke masjid yang masih dalam pembinaan di Bukit Utama untuk bertakbir dan bertahmid sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha.

Bagi Wan Intan Rafidah, 37, pengertian korban lebih cukup bermakna apabila beliau dan keluarganya menjadi mangsa tragedi tanah runtuh.

"Hari raya pada hari ini tidak disambut seperti kebiasaannya, malah kami masih dihantui trauma apabila melihat sendiri kejadian yang meragut empat," katanya.

Tambah beliau, keluarganya tidak memikirkan sambutan Aidiladha.

"Dah tidak ingat semua itu apabila alami musibah begini.

"Namun kami terima dan redha dan anggap ini adalah ujian Allah. Inilah pengorbanan terbesar yang kami hadapi," katanya yang ditemui di lokasi berhampiran tapak tragedi hari ini.

Beliau bersama suaminya, Azmel Ahmad dan tiga anak dan adik perempuannya, Wan Noorimie Azwa.

Dalam pada itu, salah seorang penduduk di Bukit Utama, Dr. Mohd Rafik Abd Rahman, berkata, penduduk sekitar bergotong-royong membersihkan masjid yang 90 peratus siap pembinaannya itu dengan membersihkan debu dan pasir yang ada untuk dibentang tikar bagi menunaikan solat sunat pagi ini.

Katanya dalam waktu-waktu begini, keselesaan tidak lagi penting, yang diharapkan hanya keselamatan penduduk.

"Kami menyambutnya dalam keadaan cukup sederhana sambil menanti perkembangan terbaru bagi membolehkan penduduk keluar dari kawasan ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Masjid yang belum diberi nama itu akan menjadi masjid pertama untuk penduduk di Bukit Antarabangsa yang sebelum ini hanya mempunyai sebuah surau iaitu surau Addiniah di Bukit Mewah.

"Dijangkakan masjid itu akan siap sebelum raya korban, namun Tuhan lebih berkuasa, tragedi tanah runtuh itu menyebabkan ianya tergendala, namun kita tetap menggunakannya," katanya.

Sementara itu, salah seorang penduduk di Sinar Ukay Kondominium, yang juga Penerbit Rancangan Radio 24 Bernama, Rahayu Nordin berkata penduduk sekitar samasama bergotong-royong dengan mengadakan majlis sambutan secara kecil-kecilan untuk penduduk di sekitar Bukit Antarabangsa di Kyoto Garden Kondominium.

"Masing-masing membawa makanan sendiri dan kami berkongsi samasama bagi meraikannya. Ianya sudah cukup bagi kami," katanya.

Selain itu terdapat juga pihak-pihak tertentu yang menyumbang makanan seperti lemang, rendang untuk dinikmati.

Bagi penduduk di sekitar Bukit Mewah, mereka juga turut keluar ke surau Addiniah seawal pukul 7.30 pagi untuk sama-sama bertakbir sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha.

Lebih istimewa, surau yang turut digunakan bagi operasi SAR menerima tetamu VIP apabila Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek meluangkan masa bersama-sama penduduk menunaikan solat pagi ini.

Turut bersama-sama beliau ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Selain itu, semua petugas operasi SAR dan wartawan turut dijamu dalam satu majlis jamuan hari raya yang diadakan di bilik gerakan berhadapan Madrasah Addiniah yang bersebelahan dengan surau.

Sementara itu, seramai 30 orang dari badan bukan kerajaan (NGO) telah berkumpul di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang semenjak Sabtu lalu untuk memasak secara besar-besaran bagi membantu mangsa tanah runtuh dan anggota-anggota penyelamat.

Ketika ditemu bual Bernama di pusat pemindahan sementara itu, sukarelawan-sukarelawan NGOs itu berkata semenjak tiga hari yang lepas, mereka telah menyediakan makanan untuk lebih kurang 1,500 orang setiap hari.

"Setiap hari kita (NGO) akan menyediakan sarapan pagi, tengah hari, petang dan malam untuk mereka," kata seorang sukarelawan.

Sehingga pagi tadi, hanya satu keluarga yang masih tinggal di pusat pemindahan itu.

Mereka dilaporkan akan berpindah ke tempat lain petang ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain