suria

Angka korban nahas bahas di Tangkak cecah 10

KEADAAN di lokasi kemalangan membabitkan bas ekspress berhampiran Tangkak awal pagi ini.
KEADAAN di lokasi kemalangan membabitkan bas ekspress berhampiran Tangkak awal pagi ini.
KEADAAN di lokasi kemalangan membabitkan bas ekspress berhampiran Tangkak awal pagi ini.

[DIKEMAS KINI] MUAR:Kemalangan bas ekspres di Kilometer 146.8, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Pagoh di sini awal pagi ini meragut satu lagi nyawa tengah hari ini, menjadikan bilangan yang terbunuh dalam kejadian itu kini 10 orang.

Mangsa terbaru itu ialah seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini pada kirakira pukul 12.25 tengah hari.

Difahamkan ibu serta sepupu kanak-kanak itu turut terkorban dalam kemalangan tersebut, namun sehingga ini identiti kanak-kanak itu dan juga ibu serta sepupunya masih belum dapat disahkan.

Terdahulu kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu meragut nyawa lima wanita dan empat lelaki, manakala 19 orang lagi cedera apabila bas ekspres itu terbalik semasa melalui kawasan berkenaan.

Antara yang terbunuh dalam kejadian itu adalah dua beranak Koh Bee Hwee, 49, dan anak perempuannya, Goh Pey Sin, 20.

Goh Soon Ren, 61, yang mengecam mayat isteri serta anaknya itu ketika ditemui di rumah mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah berkata beliau menerima panggilan telefon daripada seseorang mengenai kemalangan bas tersebut awal pagi ini.

Menurutnya ketika menerima panggilan mengenai kejadian itu, beliau tidak menjangka anak dan isterinya sudah tiada lagi.

Beliau yang berasal dari Taman Puteri, Johor Bahru berkata, isteri serta anak perempuannya pergi ke Ipoh untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka dan mereka menaiki bas dari Sitiawan, Perak pada pukul 7 malam tadi.

Sementara itu Goh Sea Keat, 31, salah seorang penumpang yang terselamat dalam kejadian itu ketika ditemui di hospital, menceritakan bagaimana detik-detik cemas setelah bas terbalik beberapa kali di tempat kejadian.

Katanya beliau yang sedang dalam perjalanan ke Singapura, seperti penumpang-penumpang lain sedang tidur semasa kemalangan berlaku.

Katanya selepas bas itu terbalik, beliau yang mengalami kecederaan di kepala sempat merangkak keluar untuk menyelamatkan diri, dan ketika itu beliau melihat ramai penumpang tersepit di bawah tempat duduk, dan ada antara mereka menjerit meminta tolong.

Seorang lagi penumpang Tang Sze Khar, 12, pula berkata beliau yang sedang tidur bersama nenek dan ibunya, sedang dalam perjalanan bercuti ke Singapura semasa kemalangan berlaku.

"Saya tidak tahu apa-apa, sedar-sedar saya sudah berada di hospital," katanya yang kelihatan menahan rasa sakit akibat kecederaan di bahagian kaki. Beliau bagaimanapun dibenarkan pulang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain