suria

Tragedi tanah runtuh: Penduduk mahu saman PBT

KUALA LUMPUR: Penduduk di sekitar Bukit Antarabangsa di sini yang menghadapi pelbagai kesukaran akibat kejadian tanah runtuh pada hari Sabtu lepas merancang untuk menyaman pihak berkuasa tempatan dan menuntut ganti rugi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bukit Antarabangsa, Datuk N. Muneandy berkata, pihaknya akan mendapatkan nasihat guaman berhubung perkara itu setelah yakin mereka mempunyai bukti kukuh untuk berbuat demikian.

"Kami yakin ada bukti yang kukuh termasuk gambar yang dirakamkan sebelum kejadian serta beberapa aduan yang dibuat kepada pihak berkuasa tempatan sebelumnya," katanya kepada pemberita.

Tanpa menyatakan jumlah gantirugi yang ingin dituntut, beliau berkata, penduduk membuat aduan awal bagi memaklumkan pihak berkuasa tentang kemungkinan kejadian tanah runtuh itu.

"Kami sudah laporkan kejadian beberapa pokok tumbang kepada pihak berkuasa bagi memberi petunjuk ada sesuatu yang berlaku, namun pihak berkuasa hanya datang memotong pokok tersebut tanpa tindakan pencegahan lain," katanya.

Selain mengakibatkan empat orang terbunuh, kejadian tanah runtuh yang menimbus 14 banglo Sabtu lepas itu mengakibatkan laluan utama ke beberapa kawasan perumahan di kawasan Bukit Antarabangsa terputus dan beriburibu penduduk terperangkap, dengan bekalan elektrik dan air terganggu.

Muneandy seterusnya menggesa kerajaan supaya menubuhkan segera jawatankuasa khas yang turut disertai wakil penduduk bagi mengetahui setiap perkembangan yang berlaku di Bukit Antarabangsa.

"Ini melibatkan rumah tempat kami tinggal dan nyawa, jadi kami mahu kerajaan mengambil tindakan segera," katanya.

Sebelum itu wakil-wakil penduduk Bukit Antarabangsa mengadakan perbincangan dengan Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat, Datuk Khalid Abu Bakar bagi mengetahui maklumat terkini operasi.

Dalam pertemuan itu, Khalid berjanji akan meningkatkan kawalan keselamatan bagi mengelakkan kejadian kecurian dan meminta penduduk yang mempunyai masalah untuk tampil sendiri membuat laporan polis.

"Memang terdapat permintaan daripada penduduk yang ingin mengambil barangbarang seperti kereta di rumah yang runtuh, tetapi kami tidak boleh benarkan sekarang kerana kita bimbang ianya bahaya berikutan keadaan tanah yang masih tidak stabil," kata Ketua Polis Selangor iitu. BERNAMA

Artikel Lain