suria

Operasi cari mangsa tanah runtuh dihenti

BANTUAN... Anggota pasukan Bomba dan Penyelamat menggunakan bantuan anjing dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang hari ini. Kira-kira 500 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada Polis, Bomba, Jabatan Pertahanan Awam dan Angkatan Tentera Malaysia berada di kawasan kejadian bagi membantu usaha-usaha mencari, menyelamat serta membersihkan runtuhan. - fotoBERNAMA
BANTUAN... Anggota pasukan Bomba dan Penyelamat menggunakan bantuan anjing dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang hari ini. Kira-kira 500 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada Polis, Bomba, Jabatan Pertahanan Awam dan Angkatan Tentera Malaysia berada di kawasan kejadian bagi membantu usaha-usaha mencari, menyelamat serta membersihkan runtuhan. - fotoBERNAMA
BANTUAN... Anggota pasukan Bomba dan Penyelamat menggunakan bantuan anjing dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang hari ini. Kira-kira 500 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada Polis, Bomba, Jabatan Pertahanan Awam dan Angkatan Tentera Malaysia berada di kawasan kejadian bagi membantu usaha-usaha mencari, menyelamat serta membersihkan runtuhan. - fotoBERNAMA

[DIKEMAS KINI, 9.30 malam] KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh di Bukit Bandaraya, Hulu Klang dekat, yang berlarutan hampir 40 jam, dihentikan pukul 6.30 petang tadi.

Perkara itu diputuskan selepas pasukan mencari dan menyelamat memuktamadkan tiada lagi mangsa terperangkap dalam timbunan tanah runtuh di kawasan Bukit Antarabangsa.

Ia dinyatakan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar pada sidang media kelima sebentar tadi.

"Operasi mencari dan menyelamat telah dihentikan kerana tiada lagi petunjuk baru atau mangsa yang tertimbus," katanya di tempat kejadian.

Bagaimanapun anggota keselamatan akan terus ditempatkan di situ bagi mengawal keadaan.

"Tetapi jumlah kekuatan akan dikurangkan," katanya.

Kata beliau, pihak keselamatan akan terus membantu pemilik rumah untuk mengambil barangan dan dokumen penting.

"Namun kalau Ikram dan JKR melaporkan keadaan merbahaya, ia juga akan dihentikan," katanya.

Terdahulu polis mengesahkan petunjuk yang diberikan oleh anjing pengesan bomba sebenarnya hanya daging yang disimpan di peti sejuk sebuah rumah di lokasi kejadian.

"Jadi dengan itu, tidak ada lagi mangsa yang hilang atau tertimbus di lokasi kejadian," kata beliau.

Terdahulu pihak bomba memaklumkan bahawa unitnya ada mengesan kedudukan seorang mangsa, dikesan berada dalam timbunan tanah runtuh pukul 11.30 pagi ini ketika polis mengesahkan tiada mangsa lagi terperangkap.

"Kerja-kerja dan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan. Berdasarkan petanda unit pengesan bomba, operasi diteruskanm," kata beliau pada sidang media ketiga pukul 2.30 petang tadi.

Bagaimanapun menurut beliau, Ikram melaporkan bahawa masih ada pergerakan tanah dikesan.

Katanya, operasi berat dihentikan kerana tanah tidak stabil.

"Walau bagaimanapun operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan, tetapi akan lebih tertumpu dalam membantu pemilik rumah yang terlibat dalam tanah runtuh untuk mencari dokumen penting dan barangan lain.

"Maka operasi SAR kini akan diteruskan untuk tujuan ini. Selain itu operasi kita yang seterusnya adalah untuk membina jambatan dan laluan alternatif," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kerja-kerja mengorek tanah menggunakan jengkaut juga telah dihentikan dan masih terdapat pergerakan tanah dalam skala rendah.

Khalid berkata, selepas jambatan sementara itu dibina hari ini oleh pasukan tentera, pihak Tenaga Nasional akan masuk dan memasang alat penjana kuasa untuk rumah-rumah yang terputus bekalan elektrik sejak awal pagi semalam.

Sementara itu, beliau menasihatkan penduduk sekitar agar tidak mendengar khabar angin yang disebarkan oleh segelintir individu untuk menimbulkan rasa takut di kalangan mangsa.

"Pihak tidak bertanggungjawab ini sebar khabar angin bahawa mereka mesti pindah rumah dan macam-macam lagi. Pihak polis nasihat agar dapatkan maklumat sahih daripada pihak berkuasa atau Jabatan Penerangan," katanya.

Beliau berkata, keadaan di Taman Bukit Mewah terkawal buat masa ini.

BERITA TERDAHULU

Bomba: 1 mangsa tanah runtuh masih terperangkap

KUALA LUMPUR: Selepas lebih sejam polis mengesahkan tiada lagi mangsa terperangkap atau maut dalam tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, maklumat terkini menyebut satu lagi mangsa dikesan masih berada dalam timbunan tanah.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Soiman Jahid berkata, kira-kira pukul 11.30 pagi tadi unit anjing pengesan pihaknya telah mengenal pasti ada satu mangsa dikesan.

Mangsa berkenaan berada di rumah bernombor 3 dan 4.

"Kini kerja-kerja menggali lubang sedang dijalankan," katanya di tempat kejadian.

Perkara itu turut disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar sebentar tadi.

Katanya, operasi carian terus dijalankan kerana mengambil berat dengan hasil unit anjing pengesan.

Dalam pada itu, keputusan sama ada untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat mangsa kejadian runtuh dijangka ditentukan lewat hari ini selepas kajian terakhir Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) bersama pasukan keselamatan mengesahkan tiada lagi mangsa yang tertimbus di kawasan tanah runtuh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, berdasarkan siasatan sehingga kini, tiada laporan mengenai kehilangan anggota keluarga atau pekerja bagi 14 pemilik banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama yang ranap ditimbus tanah runtuh awal pagi semalam.

Bagaimanapun, pihak keselamatan akan menggunakan pelbagai cara, termasuk alat pengesan bagi memastikan tiada lagi mangsa tertimbus di bawah runtuhan sebelum menghentikan operasi mencari dan menyelamat, kata pada sidang akhbar kedua hari ini.

Khalid berkata, pihaknya bimbang wujudnya kemungkinan orang luar yang melalui kawasan itu semasa kejadian tanah runtuh 4 pagi semalam, terperangkap dalam runtuhan.

BERITA TERDAHULU

Sah! Tiada lagi mangsa tanah runtuh

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan tiada lagi mangsa terperangkap atau maut dalam tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang terjadi awal pagi semalam.

Dengan itu polis juga mengesahkan mangsa yang disasarkan dalam operasi sejak semalam dan disambung semula sebentar tadi selepas ditangguhkan kira-kira empat jam, "sebenarnya tidak wujud."

Bagaimanapun Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan.

"Hanya kerja-kerja berat sahaja dihentikan kerana tanah tidak stabil," kata beliau pada sidang media terbaru sebentar tadi.

Beliau menjelaskan, mangsa yang dilaporkan semalam sebenarnya "tidak wujud."

"Oleh itu kami percaya semua mangsa sama ada selamat atau tertimbus telah habis dikeluarkan.

"Siasatan juga dilakukan ke atas semua syarikat keselamatan dan mereka memaklumkan tiada staf keselamatan bekerja di kawasan itu hilang," katanya.

BERITA TERDAHULU

Operasi disambung selepas dihenti 4 jam

KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa awal semalam, disambung semula selepas dihentikan selama hampir empat jam berikutan pergerakan tanah yang kuat pagi ini.

Operasi disambung semula sebentar selepas dihentikan kira-kira 6 pagi tadi.

"Operasi diteruskan semula pukul 9.30 pagi tadi.

"Tumpuan diberikan ke atas rumah No. 10 dan 14 kerana dipercayai (seorang) mangsa (lelaki) berada di kawasan berkenaan," kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Soiman Jahid.

Pukul 9 pagi tadi, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata: "Pergerakan tanah berlaku kira-kira pukul 6 pagi tadi."

Beliau berkata, operasi akan disambung semula setelah mendapat kebenaran Institut Kementerian Kerja Raya Malaysia (Ikram).

Beliau berkata, pasukan mencari dan menyelamat amat bergantung kepada alat pengesan mangsa bagi mengesan seorang lagi mangsa, dipercayai masih terperangkap dalam runtuhan itu.

"Menyelamatkan nyawa mangsa adalah misi dan objektif polis.

"Walaupun terdapat percanggahan maklumat mengenai mangsa yang terperangkap itu semalam, polis masih berusaha membuat penyiasatan rapi sama ada masih ada mangsa atau tidak yang terlibat dalam runtuhan itu," katanya.

Identiti mangsa yang sebenar belum diketahui.

Malah kata beliau, usaha membina jambatan yang dihentikan semalam kerana beberapa masalah teknikal diteruskan pagi ini.

Jambatan sepanjang lima meter dibina untuk menghubungkan tapak operasi ke kawasan perumahan berdekatan.

Penduduk kawasan setempat buat masa kini terpaksa menggunakan paip besar sebagai laluan untuk menyeberang.

"Penghuni Pangsapuri Impian dan banglo berhampiran juga sudah mengosongkan rumah masing-masing," katanya.

Jumlah anggota pasukan mencari dan menyelamat masih kekal 500 orang sehingga pagi ini.

"Cukup dengan jumlah itu," katanya.

Kejadian tanah runtuh itu mengakibatkan jalan utama ke kawasan perumahan terbabit terputus, menyebabkan beratusratus orang terperangkap di kawasan Bukit Antarabangsa.

Khalid berkata, penduduk yang meninggalkan kediaman mereka tidak perlu berasa bimbang mengenai harta benda mereka kerana pasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) akan mengawal kediaman mereka 24 jam.

Beliau berkata, bantuan bekalan makanan turut dihulurkan kepada kirakira 20 penghuni yang masih enggan mengosongkan kediaman mereka.

Terdahulu Bernama melaporkan, pperasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa tanah runtuh di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa dengan menggunakan jengkaut diteruskan walaupun hujan renyai-renyai awal pagi ini.

Bilik operasi dan menyelamat, yang sebelum ini terletak 50 meter dari tempat kejadian, kini dipindahkan kirakira 400 meter daripada tempat itu kerana bimbang keadaan tanah yang masih kurang stabil.

Kejadian tanah runtuh yang berlaku pukul 4 pagi semalam mengorbankan empat orang apabila 14 buah banglo di keduadua taman itu tertimbus.

Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Shaiful Khas Shahrudin, 20; Dr N. Yogeswari, 40; dan Eng Yee Peng, 30; dan warga Indonesia Surinah berusia 30an.

Yang masih hilang ialah seorang lelaki dewasa yang identitinya belum dikenal pasti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain