suria

Tarikh penguatkuasaan pemakaian tali keledar belakang tetap 1 Jan

KUCHING: Tarikh penguatkuasaan pemakaian tali keledar belakang pada 1 Jan depan adalah tetap dan tidak akan ditangguh, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lajim Ukim.

Beliau berkata pengguna telah diberi tempoh yang cukup untuk mengambil langkah perlu bagi melaksanakan peraturan itu termasuk membiasakan diri dengan penggunaannya.

"Sekarang masih ada 33 hari lagi untuk pengguna memastikan mereka dapat membiasakan penggunaan tali keledar belakang...(mulai 1 Jan) kalau tidak pakai kita tetap akan saman," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran keselamatan jalan raya 2008 di sini hari ini.

Beliau berkata kempen advokasi pemakaian tali keledar belakang yang bermula 1 Jun lepas kini giat dilakukan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) bagi menyedarkan pengguna agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika memandu dan tidak melanggar undang-undang yang ditetapkan.

Lajim berkata kenderaan yang didaftar sebelum 1995 dan penumpang keempat di tempat duduk belakang bagaiamanapun dikecualikan daripada penguatkuasaan penggunaan tali keledar belakang. Sementara itu, Lajim berkata penunggang dan pembonceng motosikal dinasihat menggunakan topi keledar yang belum tamat tempoh dan diiktiraf oleh Sirim.

Beliau berkata jangka hayat sesebuah topi keledar biasanya dalam tempoh lima tahun dan selepas tempoh itu kebanyakan topi keledar tidak lagi selamat digunakan selain mudah pecah dan retak bila berlaku hentakan ketika kemalangan.

Lajim berkata kerajaan memperuntukkan RM45 juta kepada JKJR pada tahun depan untuk mengadakan lebih banyak kempen keselamatan jalan raya termasuk di 150 daerah luar bandar di seluruh negara.

"Kempen tahun hadapan melibatkan beberapa siri penerangan berhubung keselamatan jalan raya selain kita juga akan mengedarkan 150 ribu topi keledar kepada pengguna motosikal, pembonceng dan menunggang basikal dalam kempen itu nanti," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain