suria

Buruh saman dua hospital kerajaan

KANGAR:Seorang buruh hari ini memfailkan saman terhadap dua hospital serta kerajaan Malaysia kerana mendakwa berlaku kecuaian memberi rawatan sehingga menyebabkan anak lelakinya mengalami kecacatan kekal pada tangan dan kakinya.

Saman itu difailkan oleh Salim Othman, 44, yang diwakili peguam Jamil Mohamed Shafie di Mahkamah Sesyen di sini dengan menamakan Pengarah Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dan Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Star sebagai defendan pertama dan kedua, dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga.

Kanak-kanak terbabit, Muhammad Haikal Azri Salim, 6, menyerahkan sendiri saman yang menuntut ganti rugi khas sebanyak RM1 juta itu kepada pegawai tadbir (sivil) Mahkamah Sesyen Kangar, Norma Hashim, dengan disaksikan Jamil pukul 3.20 petang.

Dalam tuntutan saman itu, Salim mendakwa defendan pertama dan kedua cuai ketika merawat Muhammad Haikal Azri yang cedera dalam satu kemalangan pada 7 Feb 2006 menyebabkan dia mengalami kecacatan kekal di bahagian tangan kanan dan kaki kirinya.

Keadaan itu menyebabkan kanakkanak itu mengalami trauma dan sering diejek oleh rakanrakannya yang menggelarnya sebagai "hantu",

Pada hari kejadian, kanak-kanak itu dikatakan terbakar pada beberapa bahagian anggota badannya selepas motorsikal milik bapanya terbakar dan meletup semasa sedang diisi minyak di rumah mereka di Kampung Tanah Timbul, Kuala Sanglang pada 7 Feb 2006.

Dia dimasukkan ke HTF sebelum dipindahkan ke HSB untuk rawatan lanjut sehingga 2 April 2006, dan plaitif mendakwa bahawa sepanjang rawatan itu, berlaku kecuaian ejen serta kakitangan defendan pertama dan kedua semasa memberi rawatan.

Antara kecuaian itu ialah pihak defendan didakwa telah memberi ubat tanpa diuji kesesuaian dengan anaknya dan defendan juga didakwa gagal memaklumkan risiko terhadap rawatan itu. BERNAMA

Artikel Lain