suria

Adun BN cadang jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang diganti

PULAU PINANG: Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) hari ini mencadangkan Timbalan Ketua Menteri 1 Mohamad Fairus Khairuddin diganti dengan Abdul Malik Abul Kassim (PKR-Batu Maung).

Mohd Farid Saad (BNPulau Betong) berkata Mohamad Fairus tidak layak memegang jawatan itu memandangkan beliau tidak aktif dan tidak diberi kepercayaan kerajaan negeri untuk menguruskan perkara berhubung hal ehwal agama Islam.

Beliau turut mencadangkan jawatan exco Agama yang turut disandang Mohamad Fairus diberi kepada Hamdan Abdul Rahman (PAS-Permatang Pasir) untuk kebaikan kerajaan Pakatan Rakyat dan rakyat negeri ini.

"Dalam pembentukan satu jawatankuasa untuk menyediakan produk halal mengikut ajaran Islam, sebagai exco agama, beliau (Mohamad Fairus) tidak diberi kepercayaan.

"Demi menjaga maruah orang Melayu dan agama Islam saya berpendapat beliau tidak lagi layak menjadi timbalan ketua menteri.

Berikan sahaja jawatan itu kepada Adun Batu Maung yang begitu aktif," katanya ketika membahaskan Rang Undangundang Perbekalan 2009 dan Usul Anggaran Pembangunan 2009 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Mohd Farid berkata penduduk Islam di Pulau Pinang kecewa kerana Mohamad Fairus gagal memainkan peranan sebagai pemimpin nombor dua negeri.

"Saya juga hairan kenapa Mohamad Fairus yang juga exco Agama dan exco Pembangunan Usahawan dan Koperasi tidak dipilih menganggotai jawatankuasa pusat Hab Halal.

Bukan sahaja tidak dipilih sebagai anggota jawatankuasa malah yang paling mengecewakan tidak diberi peluang mengetuai AJK itu," katanya.

Sebaliknya beliau berkata empat exco yang tidak perlu makan makanan halal pula dilantik sebagai AJK Hab Halal itu untuk melaksanakan projek itu.

Beliau berkata sikap Mohamad Fairus (PKR-Penanti) pernah ditegur oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau jarang melawat kawasan.

"Bila ditegur jarang lawat kawasan, alasannya sibuk. Bila diberi tanggungjawab sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang, beliau letak jawatan dengan alasan jadual terlalu ketat," katanya. BERNAMA

Artikel Lain