suria

Bapa mangsa bunuh tak tahu suspek ada hati pada anaknya

KUALA LUMPUR: Bapa kepada wanita yang mati dipercayai dicekik bekas teman lelakinya di Sungai Buloh semalam berkata keluarganya tidak mengetahui bahawa suspek sebenarnya menaruh hati terhadap anaknya.

Baharom Basir, 51, berkata ini kerana keluarganya selama ini menganggap hubungan mereka hanyalah seperti seperti adik dan abang.

Perkara itu diakui sendiri oleh suspek yang berusia 36 tahun itu apabila ditanya hubungannya dengan anak sulungnya, Nurul Hazira, kata Baharom yang ditemui di rumahnya di sini hari ini. Menurutnya mereka telah berkenalan sejak lima tahun lalu apabila suspek sering berkunjung ke rumahnya untuk menjemput anaknya ke tempat kerja di Country Homes, Rawang kerana mereka bekerja di tempat yang sama.

Baharom, yang menyifatkan suspek seorang yang pendiam, berkata hubungannya dengan ibu bapa suspek juga baik, namun tiada kata sepakat untuk menyatukan mereka.

"Kami tak tahu pula yang dia (suspek) sebenarnya ada hati dengan anak kami. Kami kesal dengan apa yang berlaku," katanya. Baharom berkata hari ini arwah anaknya sepatutnya menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-26.

Mayat Nurul Hazira selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Ehsan, Kepong pukul 7.30 petang semalam.

Semalam, Nurul Hazira yang bekerja sebagai jurujual jualan langsung, dicekik hingga mati oleh bekas teman lelakinya kira-kira pukul 11 pagi, selepas mangsa memberitahu ingin bertunang dengan pilihan keluarganya.

Kejadian berlaku di rumah sewa suspek di Batu 19, Kampung Gombak, Kuang dan dipercayai suspek melakukan perbuatan itu di atas tilam dalam sebuah bilik rumahnya.

Suspek yang terkedu melihat mangsa tidak bergerak, cuba membunuh diri dengan bertindak meminum racun rumpai. Dia mendakwa mangsa turut meminum racun tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi hari ini berkata suspek yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh semalam akibat meminum racun itu masih tidak sedarkan diri.

"Kita akan mengambil keterangan daripadanya sejurus dia sedar," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Teresa saman Utusan RM30 juta

Artikel Berikut

30 maut gempa bumi dekat Lhasa

Artikel Lain