suria

Pendakwaan terhadap lelaki mengaku nabi sah

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan pendakwaan terhadap Abdul Kahar Ahmad yang mengaku dirinya seorang nabi mengikut Enakmen Syariah Selangor adalah sah.

Mahkamah turut membuat keputusan serupa berhubung tiga lagi individu Mazli Mansor (sudah meninggal dunia) dan Mat Razali Kasan yang merupakan pengikut Kahar dan Sulaiman Takrib yang merupakan seorang daripada anggota kumpulan ajaran sesat Ayah Pin yang mencabar pendakwaan masing-masing mengikut enakmen Syariah Selangor dan Terengganu.

Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang akan bersara bulan depan, berkata dalam "penghakiman selamat tinggalnya" bahawa seksyen dalam kedua-dua enakmen Syariah itu yang dicabar oleh empat lelaki itu merupakan undangundang yang sah.

Katanya, "perundangan negeri boleh menggubal undang-undang kesalahan dan hukuman bagi kesalahan ke atas orang yang mengaku beragama Islam dan bagi kesalahan tidak mengikut ajaran Islam.

"Hujahan bahawa undang-undang mengawal penyebaran doktrin dan kepercayaan adalah melanggar Perlembgaaan atas alasan ia tidak konsisten dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan berhubung kebebasan untuk menganut mana-mana agama tidak boleh berdiri sendiri kerana perundangan negeri boleh menggubal undang-undang untuk mengawal penyebaran doktrin dan kepercayaan," katanya.

Kahar, 57, Mazli, 49, dan Razali, 44, memohon perisytiharan bahawa Seksyen 7, 8(a), 10 (b), 12 dan 13 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan Seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah tidak sah.

Sulaiman, 59, sementara itu mencabar keperlembagaan Seksyen 10 dan 14 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah (Penalti Budi Bicara) (Terengganu) 2001 dan Seksyen 51 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 2001.

Kahar dari Kampung Kemensah, Ampang, dituduh mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kerana mengisytiharkan dirinya seorang nabi Melayu, menyebarkan ajaran sesat, menghina dan melanggar ajaran agama Islam dan bertindak menentang fatwa dan mufti.

Sulaiman didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Besut bagi pertuduhan menghina pihak berkuasa agama kerana enggan mematuhi fatwa bahawa ajaran yang dibawa oleh Ariffin Mohamad atau Ayah Pin, 65, adalah palsu dan sesat yang boleh mengancam ketenteraman awam dan merosakkan iman orang Islam.

Korum tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Abdul Hamid, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zaki Tun Azmi dan Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara menolak permohonan mereka.

Penghakiman setebal 40 muka surat Abdul Hamid dibacakan di mahkamah oleh Timbalan Pendaftar Norhayati Haji Mat manakala Timbalan Pendaftar Maziah Joary Mohd Tajudin membacakan penghakiman Zaki.

Dalam kes Sulaiman, Abdul Hamid berkata jawatankuasa fatwa hanya diberikan kuasa untuk menyediakan fatwa bagi sebarang persoalan yang tidak dapat diselesaikan atau kontroversi berkaitan Hukum Syarak dan bukan mewujudkan masalah seperti dihujahkan oleh peguam yang mewakili empat lelaki itu.

Beliau berkata Dewan Undangan Negeri Terengganu menggubal undangundang kesalahan jenayah itu dan menetapkan hukuman bagi kesalahan itu.

Beliau turut menolak hujahan peguam yang mewakili empat lelaki itu bahawa seksyen yang dipersoalkan itu bukannya kesalahan terhadap Ajaran Islam yang terkandung dalam lima rukun Islam.

Mahkamah telah mendengar pendapat daripada tiga pakar dalam agama Islam iaitu Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman, Prof Dr Mohd Kamal Hassan dan Prof Muhammad Hashim Kamali mengenai definisi Ajaran Islam.

Abdul Hamid berkata beliau memilih "pandangan lebih luas" Sheikh Ghazali dan Dr Kamal bahawa Ajaran Islam adalah melampaui lima rukum Islam itu dan tidak hanya termaktub dalam lima rukun itu sahaja.

Abdul Hamid juga berkata kesalahan dalam seksyen yang dipersoalkan itu adalah kesalahan menyeleweng daripada ajaran Islam yang hanya meliputi orang Islam dan berkaitan dengan Islam dan tidak boleh dianggap sebagai undang-undang jenayah.

Zaki pula dalam penghakimannya berkata tiga pakar agama Islam itu bersetuju yang terma "Ajaran Islam" termasuk perkara yang terkandung dalam al-Quran dan As Sunnah.

"Sebaik sahaja fatwa dikeluarkan dengan itu sesiapa yang gagal mematuhinya dikira melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan (Takzir) Jenayah Syariah (Terengganu) 2001 (SCOT).

"Seksyen 10 SCOT menetapkan adalah satu kesalahan bagi orang Islam untuk menafikan, tidak mematuhi atau mempertikaikan perintah atau arahan Sultan sebagai ketua agama Islam, majlis atau mufti yang diberikan melalui Fatwa," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain