suria

UiTM nafi pertemuan MB Selangor -MPP bincang isu kuota

PETALING JAYA: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menafikan kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan perwakilan pelajar berhubung isu cadangan membuka 10 peratus kuota pelajar kepada Bukan Bumiputera.

Sebaliknya universiti itu menjelaskan, apa yang sebenarnya berlaku ialah tiga pelajar -Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan dua rakannya telah dijemput melalui panggilan telefon untuk hadir majlis berbuka puasa di kediaman rasmi Menteri Besar Isnin lalu.

Ketiga-tiga pelajar berkenaan telah bersetuju menghadiri majlis tersebut atas niat baik untuk berbuka puasa, kata Naib Canselor UiTM, Datuk Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, jelas beliau, pada majlis itu juga mereka telah dipanggil oleh Menteri Besar dan beberapa ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor untuk berbincang dan menjelaskan isu-isu yang berbangkit.

Pada Selasa, Abdul Khalid dipetik berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan enam perwakilan tertinggi UiTM bagi membincangkan isu kemasukan 10 peratus pelajar Bukan Bumiputera yang dicadangkannya.

Pada Isnin lalu, Abdul Khalid telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin pelajar UiTM - kali pertama sejak tercetusnya isu kontroversi agar pengambilan ke pusat pengajian tinggi itu dibuka 10 peratus kepada Bukan Bumiputera dan warga asing.

Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dan enam pemimpin pelajar termasuk Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Luqmanulhakim Mohamad Idris menghadiri pertemuan yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar.

Khalid berkata, beliau berpuas hati dengan pertemuan tersebut kerana wakil-wakil pelajar berkenaan menyatakan harapan dan pandangan mereka mengenai mengapa perlunya untuk mengekalkan kuota 100 peratus pelajar Bumiputera.

Kata Khalid, mereka bagaimanapun bersetuju perlunya pengambilan pelajar dari kaum-kaum lain serta pelajar asing namun berpendapat perkara tersebut tidak sesuai dilaksanakan pada masa ini.

Tambah beliau, kedua-dua pihak juga mempunyai matlamat yang sama iaitu bagi melihat negara dan kaum Bumiputera terus berkembang maju.

Ibrahim menegaskan bahawa sebenarnya tiada kata putus dicapai kerana tiga pelajar berkenaan tetap dengan pendirian tidak mahu UiTM dibuka kepada Bukan Bumiputera, manakala Menteri Besar Selangor itu pula mempertahankan cadangannya untuk membuka kuota UiTM kepada pelajar asing.

"Pada saya, cara dan kesempatan yang digunakan oleh Menteri Besar Selangor itu tidak profesional, mengambil jalan mudah dengan menganggap itu adalah pertemuan dengan wakil tertinggi UiTM, sedangkan ini tidak benar," katanya.

Sehubungan itu, Ibrahim menegaskan, bagi pihak UiTM, isu tersebut masih belum selesai selagi Abdul Khalid tidak meminta maaf kepada kaum Bumiputera dan universiti itu atas penghinaan beliau yang menyatakan universiti itu tidak kompetitif, tidak global dan tidak mesra tanpa kemasukan kaum lain.

"Pihak UiTM bimbang dengan kenyataan yang tidak benar ini akan dipercayai oleh rakyat kerana beliau membuat kenyataan ini atas kapasiti sebagai seorang pemimpin," kata beliau.

Artikel Berikut

574 produk disahkan bebas Melamine

Artikel Lain