suria

2 tren LRT langgar, perkhidmatan pulih hari ini

DUA tren LRT berlanggar berhampiran Stesen LRT Bukit Jalil petang semalam.
DUA tren LRT berlanggar berhampiran Stesen LRT Bukit Jalil petang semalam.
DUA tren LRT berlanggar berhampiran Stesen LRT Bukit Jalil petang semalam.

KUALA LUMPUR: Kerja-kerja memindahkan kedua-dua tren Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) yang berlanggar berhampiran Stesen LRT Bukit Jalil di sini sudah selesai malam tadi, dan perkhidmatan itu akan beroperasi seperti biasa esok.

Malam tadi, Pengurus besar komunikasi korporat Rangkaian Pengangkutan Intergrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) Ebi Azly Adullah berkata, perkhidmatan tren LRT Star aliran Ampang antara Sentul Timur dan Sri Petaling akan bermula seperti biasa pada pukul 6.30 pagi ini.

Dalam insiden pukul 6.30 petang semalam, dua tren berlanggar kira-kira 200 meter (m) dari Stesen Bukit Jalil, mengakibatkan empat penumpang mengalami cedera ringan, manakala 300 lagi terselamat.

Ebi yang ditemui pemberita ketika mengiringi Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat melawat antara penumpang yang sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras di sini berkata, pihaknya akan menampung semua kos perubatan kesemua penumpang yang terlibat dalam kejadian itu.

Sementara itu Ong berkata, beliau mahukan supaya laporan penuh daripada polis, pihak LRT Star, dan RapidKL berhubung insiden itu disiapkan secepat mungkin untuk diteliti pihaknya.

"Saya mahukan laporan terperinci. Jabatan kereta api di bawah kementerian Pengangkutan mempunyai kuasa untuk membatalkan lesen pengendali perkhimatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat perubatan itu malam tadi.

Terdahulu beliau melawat kawasan kejadian. Ong berkata, Kementerian Pengangkutan turut mempersoalkan aspek mengenai kekerapan penyelenggaraan perkhidmatan tren itu bagi memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan baik.

Katanya, daripada empat penumpang yang mengalami kecederaan ringan yang dihantar ke pusat perubatan itu, hanya seorang wanita, Ko Thin Lau, 34, masih dirawat, dan keadannya stabil.

Dalam pada itu, salah seorang mangsa yang terperangkap dan tercedera dalam insiden pelanggaran tersebut merupakan sepupu Ong.

Ah See Mean, 21, seorang kerani akaun di sebuah firma di Jalan Petaling menggunakan tren tersebut dari stesen Plaza Rakyat untuk pulang ke rumahnya di Salak Selatan.

Beliau berkata, ketika kejadian tren yang dinaikinya berhenti tidak jauh dari stesen LRT Bukit Jalil kerana ketika itu terdapat sebuah lagi tren sedang menurunkan penumpang di stesen tersebut.

"Ketika LRT yang saya naiki baru sahaja hendak bergerak, tiba-tiba sebuah tren lain merempuh dari arah belakang menyebabkan kebanyakan penumpang tercampak.

"Saya yang ketika itu berdiri di koc paling hadapan sempat berpaut pada tiang besi di dalam tren namun kaki kiri saya terseliuh," katanya kepada pemberita selepas menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pesakit luar.

Katanya, beliau bersama penumpang yang lain terperangkap di dalam tren dalam keadaan lampu dan pendingin hawa tidak berfungsi sebelum dibantu keluar oleh pekerja LRT yang berada di dalam LRT. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain