suria

3 jam terjemahkan klip video alternatif hina Negaraku

WEE Meng Chee ditemu bual oleh pemberita selepas disiasat polis selama tiga jam di Kuala Lumpur hari ini.
WEE Meng Chee ditemu bual oleh pemberita selepas disiasat polis selama tiga jam di Kuala Lumpur hari ini.
WEE Meng Chee ditemu bual oleh pemberita selepas disiasat polis selama tiga jam di Kuala Lumpur hari ini.

PETALING JAYA: Wee Meng Chee, yang mencetuskan kontroversi dengan menghasilkan klip video Negarakuku dan disiarkan menerusi internet tahun lalu, semalam disiasat polis berhubung tindakannya itu.

Wee, 25, yang diiringi ibu bapanya dilihat memasuki Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan di Kompleks Kerajaan Bukit Perdana di sini kirakira 10.30 pagi dan meluangkan kira-kira tiga jam untuk memberi kenyataan kepada polis.

Bekas pelajar Taiwan itu, yang berasal dari Muar, Johor, disiasat selepas dia pulang ke tanah air setelah menghabiskan pengajiannya baru-baru ini.

Dia menjadi perhatian selepas mencipta klip video menghina lagu Negaraku dengan menggunakan bahasa kasar dan lucah.

Sebelum ini, akhbar-akhbar melaporkan Meng Chee telah meminta maaf kepada kerajaan dan rakyat Malaysia yang tersinggung dengan penyiaran lagu yang diberi tajuk Negarakuku itu - yang disiarkan ketika negara menyambut ulang tahun ke-50 merdeka tahun lalu.

"Mereka hanya menemu bual. Saya cuma menandatangani satu lirik (lagu Negaraku yang dinamakannya semula sebagai 'Negarakuku' dan menulis lagu itu dalam bahasa Mandarin). Mereka meminta saya terjemahkannya (lirik lagu itu ke dalam Bahasa Malaysia)," katanya kepada pemberita selepas ditemu bual oleh polis.

Ditanya oleh pemberita sama ada dia akan didakwa dan mengikut undang-undang apa, Wee berkata: "Saya tidak tahu, saya hanya mahir dalam muzik, saya tidak mahir dalam undang-undang."

Wee berkata, semasa temu bual itu, polis mencatatkan namanya, nombor kad pengenalan dan bertanyakan "soalan-soalan biasa" mengenainya.

Katanya, polis bersikap baik kepadanya.

Dia mengambil masa hampir tiga jam untuk menterjemahkan lagu 'Negarakuku'.

Kepada soalan lain, Wee berkata dia tidak membawa peguam bersamanya kerana dia bersedia memberikan kenyataan kepada polis sungguhpun dia tidak begitu faham mengenai siasatan itu.

"Mereka hanya menjalankan tugas mereka dan saya menjalankan tugas saya," kata Wee yang kembali ke tanah air tiga minggu lepas setelah menamatkan pengajiannya di Taiwan.

"Memandangkan saya mengambil jurusan Komunikasi Massa, saya akan bekerja dalam media seperti anda," kata Wee, yang sedang mencari pekerjaan di Malaysia.

Wee yang menggunakan nama 'Namewee' dalam klip video itu, menyanyikan lagu "Negaraku" yang dicemari dengan perkataan kurang sopan.

Lagu kebangsaan "Negaraku" dinamakan semula sebagai "Negarakuku" dalam klip video lima minit 32 saat itu yang disiarkan dalam sebuah laman web pada Julai tahun lepas.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan, ACP Mohd Kamarudin Md Din berkata, polis telah pun memulakan siasatan dan mengambil keterangan daripada Wee.

"Kes ini belum ditutup lagi, siasatan masih berjalan. Apabila selesai, kami akan merujuk kes ini kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya ketika dihubungi, sambil menambah kes itu disiasat mengikut Akta Hasutan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain