suria

2 peniaga hadiri perhimpunan Hindraf didenda RM1,000

KUALA LUMPUR: Dua peniaga masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan gagal bersurai pada perhimpunan haram anjuran kumpulan tidak berdaftar Hindu Rights Action Force (Hindraf) di sini pada 25 November tahun lepas.

Hakim Akhtar Tahir memerintahkan kedua-dua lelaki itu, S. Veejayakumara, 47, dan R.Sivakumar, 34, menjalani penjara tiga minggu jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, 24 yang lain mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan yang sama.

Veejayakumara dan Sivakumar menukar pengakuan mereka kepada bersalah hari ini selepas peguam dari Biro Bantuan Guaman Kuala Lumpur, Datuk N. Sivanathan, yang mewakili mereka, membuat representasi kepada Pejabat Peguam Negara pada Selasa lepas.

Akhtar semasa membuat keputusan itu berkata, walaupun mereka menukar pengakuan selepas pendakwaan memanggil 12 saksi untuk memberikan keterangan tetapi mahkamah mengambil kira tindakan mereka itu telah dapat menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Hakim itu berkata, beliau turut mengambil kira bahawa itu merupakan kesalahan pertama kedua-dua tertuduh itu dan kehadiran mereka di mahkamah sejak dua minggu lepas bagi perbicaraan juga merupakan satu hukuman kerana sesetengah mereka telah kehilangan kerja.

Seramai 54 orang didakwa terhadap pertuduhan melakukan kesalahan tersebut berhampiran bangunan MIDF di Jalan Tun Razak, di persimpangan Jalan Ampang dan di stesen LRT Ampang antara 6 pagi dan 12 tengah hari 25 November tahun lepas.

Dalam rayuannya, Sivananthan memberitahu mahkamah bahawa kumpulan itu berada di tempat itu hanya untuk menyerahkan petisyen kepada Suruhanjaya Tinggi Britain dan mereka tiada motif untuk mencetuskan sebarang masalah atau bertindak ganas.

Minggu lepas, seramai 27 orang daripada yang dituduh itu telah didenda masing-masing RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang sama.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Amir Nasruddin. BERNAMA

Artikel Lain