Usah terima produk susu dari China musim perayaan kali ini - Semasa | mStar

Usah terima produk susu dari China musim perayaan kali ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan hari ini menasihati pengguna supaya tidak menerima sebarang susu dan hasilan susu dari China yang diberikan secara percuma sempena musim perayaan ini.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan, Noraini Mohd. Othman berkata, pengguna yang masih ragu-ragu dengan keselamatan makanan di pasaran boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan.

Mereka boleh menelefon 03-88833655 atau 03-88833503 untuk mendapatkan maklumat lanjut, katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau turut meminta penjual supaya menyemak inventori produk jualan bagi mengenal pasti produk makanan yang mempunyai susu sebagai salah satu ramuan yang diimport dari China supaya segera mengeluarkan produk makanan itu dari premis masing-masing.

Katanya, penjual dinasihati menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri yang berhampiran untuk tindakan selanjutnya.

Noraini berkata, pengimport atau ejen yang mengimport susu dan hasilan susu dari China diminta menghentikan pengimportan itu serta merta dan jika produk makanan itu masih dalam simpanan, mereka dilarang daripada menjualnya.

Melamine, bahan kimia industri yang digunakan untuk membuat plastik dan baja, kaya dengan nitrogen dan apabila dicampur ke dalam susu, boleh menjadikan tahap protein lebih tinggi daripada yang sepatutnya.

Kesan melamine mengakibatkan iritasi apabila terhidu dan bersentuhan dengan kulit atau mata dan pengambilannya melalui makanan boleh merosakkan sistem pembiakan, pembentukan batu karang dalam ginjal dan pundi kencing serta kegagalan ginjal terutama kepada bayi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

1 Oktober sasaran baru Pakatan, kes Anwar esok

Artikel Berkaitan

Artikel Lain