suria

Abdullah: Akar umbi Umno mahu semangat muafakat diperkukuh

KOTA BAHARU: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata semua anggota UMNO peringkat akar umbi mahukan semangat pemuafakatan dalam parti itu diperkukuh sejajar dengan pelan peralihan kuasa pada 2010.

Abdullah yang juga Presiden UMNO berkata semua anggota parti itu telah menyuarakan sokongan terhadap beliau mengenai pelan peralihan kuasa kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan berharap ia berjalan dengan lancar.

Beliau berkata pelan peralihan itu diterima baik oleh anggota parti dan perkara itu dinyatakan semasa beliau membuat lawatan kerja ke negeri-negeri termasuk menghadiri majlis berbuka puasa.

"Semua anggota UMNO masih sayang kepada parti dan mereka inginkan parti ini supaya kuat dan baik.

"Mereka hendakkan parti ini diperbetulkan dan tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tertutup Badan Perhubungan UMNO Kelantan, di sini, hari ini. Abdullah dalam rangka lawatan kerja sehari ke Kelantan yang diiringi isterinya Datin Seri Jeanne Abdullah.

Perdana Menteri kemudiannya berbuka puasa bersama kira-kira 3,000 pemimpin masyarakat dan anggota UMNO di Yayasan Kemiskinan Kelantan di sini.

Abdullah berkata semua anggota UMNO tidak mahu sebarang perbalahan wujud di dalam parti berikutan proses pelan peralihan kuasa itu.

"Semua anggota tidak mahu berlaku perbalahan. Yang kita mahu adalah muafakat dan ikatan yang kuat di dalam parti yang membawa kepada perpaduan," katanya.

Abdullah berkata pelan peralihan kuasa tetap berlaku seperti yang telah dirancang sebelum ini dan ia berlaku secara berperingkat-peringkat.

Sebelum itu, dalam ucapannya sebelum berbuka puasa pada majlis itu, beliau meminta semua anggota UMNO memelihara keutuhan parti dan tidak berpecah belah.

Beliau juga meminta anggota UMNO supaya memelihara perpaduan dan mengukuhkan kekuatan parti dengan mengamalkan konsep muafakat.

"Bersatu dan bermuafakatlah agar UMNO kita kuat dan saya minta semua supaya jangan berbalah demi kepentingan parti," katanya.

Presiden UMNO itu juga berkata perpaduan di dalam parti perlu dipupuk dan dipelihara sejajar dengan ajaran Islam kerana Allah S.W.T. mengutuk sebarang perpecahan yang boleh membawa kepada kemusnahan agama dan bangsa.

Abdullah kemudian menunaikan solat Isyak dan bertarawih bersama dengan anggota tentera di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas.

Lawatan Abdullah ke kem itu merupakan lawatan pertamanya selaku Menteri Pertahanan apabila beliau bertukar portfolio pertahanan dan kewangan dengan Najib sebagai sebahagian daripada proses penyerahan kuasa pada Jun 2010.

Pada 17 Sept lalu Abdullah mengumumkan beliau memegang jawatan Menteri Pertahanan manakala Najib mengambil alih jawatan Menteri Kewangan berkuatkuasa serta merta. BERNAMA

Artikel Lain