suria

Bekas ahli Sapp boleh sertai parti komponen BN

KOTA KINABALU: Anggota Parti Maju Sabah (Sapp) yang keluar beramai-ramai daripada parti itu, mempunyai hak untuk menyertai mana-mana parti atau menubuhkan parti mereka sendiri dan terus bersama dengan Barisan Nasional (BN).

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata, pihaknya sedia maklum bahawa banyak anggota dan pemimpin Sapp bertindak keluar parti kerana tidak bersetuju dengan tindakan ketua mereka membawa parti itu keluar daripada BN.

Ditanya sama ada Umno Sabah juga membuka pintu kepada bekas anggota Sapp itu, Musa berkata, terpulang kepada mereka parti mana yang ingin disertai demi kebaikan mereka sendiri.

Musa berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sedekah jariah almubarak di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Kelmarin, 2,000 anggota dari 15 cawangan Sapp di Tanjung Papat, Sandakan mengumumkan keluar parti beramai-ramai sebagai tanda menyokong bekas Naib Presiden Sapp, Datuk Raymond Tan Shu Kiah, yang tidak bersetuju dengan keputusan parti itu untuk keluar daripada BN.

Mengenai kedudukan Tan, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Musa berkata, beliau akan menemui Tan esok bagi membincangkan perkara itu.

Tan sebelum ini berkata beliau akan berjumpa dan menyerahkan surat peletakan jawatan daripada Kabinet negeri kepada Musa esok.

Sementara itu, mengenai kedudukan Ketua Wanita Sapp, Melanie Chia yang mengumumkan untuk meletak jawatan sebagai Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Musa berkata, mereka tidak perlu terburu-buru mencari pengganti portfolio itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

UPKO cadang ISA dikaji semula

Artikel Berikut

Anwar 'main wayang' - Rais

Artikel Lain