suria

6 ketua bahagian di Wilayah Persekutuan kekal kerusi

KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique menepati ramalan mengetuai senarai enam Ketua Bahagian Umno di Wilayah Persekutuan yang menang tanpa bertanding.

Zulhasnan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan dan Menteri Wilayah Persekutuan, menang tanpa bertanding sebagai Ketua Umno Bahagian Setiawangsa setelah menerima mandat daripada kesemua 48 cawangan dalam bahagian itu.

Turut menang tanpa bertanding ialah Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Al Habshee yang mendapat mandat daripada kesemua 31 cawangan dalam bahagian itu.

Ketua bahagian lain yang menang tanpa bertanding ialah Ketua Umno Bahagian Kepong, Senator Datuk Ridhuan Hamid; Ketua Umno Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Azim Zabidi; Ketua Umno Bahagian Titiwangsa, Datuk Seri Suleiman Mohamad dan Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sementara itu, tujuh bahagian menyaksikan saingan yang sengit dengan Ketua Umno Bahagian Segambut, Senator Datuk Kamaruddin Ambok akan ditentang oleh Bendahari Umno Segambut, Hadi Mad Zam manakala di Wangsa Maju, Pemangku Ketua Bahagian Datuk Zainal Nazeri Zainuddin pula akan dicabar oleh Naib Ketua bahagian, Datuk Mohd Shafie Abdullah.

Saingan juga berlaku di bahagian Batu di mana penyandang Ketua Bahagian, Datuk Yusuf Hamid akan berdepan Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Batu, Yahya Mat Ghani atau lebih dikenali sebagai "Abas Batu".

Ketua Umno Seputeh, Datuk Hisham Abdul Majid pula akan berdepan Ketua Umno Cawangan Happy Utara, Mustapha Kamal manakala di Lembah Pantai pula wujud saingan tiga penjuru.

Pemangku Ketua Bahagian Lembah Pantai, Yusri Ahmad akan berdepan dengan bekas Ketua Bahagian Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Ahmad Zahran Ibrahim.

Ketua Umno Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman pula akan ditentang oleh Anggota Parlimen Labuan, Datuk Yusuf Mahal yang juga merupakan Timbalan Ketua Bahagian itu.

Di Bandar Tun Razak pula, Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Datuk Mokhtar Samad akan menentang Datuk Amil Salleh yang telah dibebaskan daripada penggantungan oleh Lembaga Disiplin Umno.

Artikel Sebelum

UPKO cadang ISA dikaji semula

Artikel Berikut

Anwar 'main wayang' - Rais

Artikel Lain