suria

Yap Pian Hon bertanding jawatan naib presiden

KUALA LUMPUR: Bekas naib presiden MCA dan veteran parti Datuk Yap Pian Hon hari ini mengumumkan beliau akan bertanding jawatan Naib Presiden MCA pada pemilihan parti itu yang dijadualkan pada 18 Okt.

Ini merupakan cubaan ketiga Yap, bekas naib presiden selama tiga penggal sejak 1990-1999, untuk dipilih semula bagi memegang satu daripada empat jawatan naib presiden sejak 1999.

Beliau sebelum ini gagal dipilih semula sebagai naib presiden dalam pemilihan parti pada 1999 dan 2005.

"Saya telah melalui banyak cabaran dalam kerjaya politik saya dan semua ini saya anggap sebagai satu aset. Bukannya sesuatu yang mudah untuk mengundurkan diri walau macam mana susahnya ia.

"Justeru, saya memutuskan untuk menawarkan diri saya sekali lagi sebagai calon jawatan Naib Presiden," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Yap, yang juga bekas Ketua Pemuda MCA dan Exco Kerajaan Negeri Selangor, sering kali digelar "kucing punya sembilan nyawa" berikutan kegigihannya dalam dunia politik dan pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa Operasi Lalang pada 1987. Walaupun dipilih sebanyak tiga kali sebagai naib presiden, Yap tidak pernah disenaraikan untuk memegang jawatan menteri atau timbalan menteri di sebalik hakikat beberapa orang yang dipilih sebagai naib presiden ditawarkan jawatan seumpamanya dalam kerajaan.

Yap merupakan calon ketujuh yang akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden selepas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Chor Chee Heung, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Kong Cho Ha, Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai yang juga Ketua Pemuda, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Ng Yen Yen dan Exco Negeri Johor Datuk Tan Kok Hon.

Selain mereka, naib presiden Datuk Seri Dr Fong Chan Onn juga mengumumkan akan mempertahankan jawatannya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain