suria

Hari Malaysia 16 Sept wajar dijadikan cuti umum

KUALA LUMPUR: Memandangkan kerajaan bersetuju menjadikan tarikh penubuhan Malaysia pada 16 September sebagai sambutan Hari Malaysia, maka sudah tibalah masanya bagi kerajaan mempertimbangkan cadangan mengisytiharkan cuti umum pada hari tersebut.

Tokoh sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim ketika membuat saranan itu berkata tarikh 16 September yang berdasarkan fakta sejarah itu adalah penting dan wajar diisytihar sebagai cuti umum.

"Tarikh 16 September adalah ulangan kita untuk mengingati tarikh kemasukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Tanah Melayu pada 1963 yang kemudian ditukar menjadi Persekutuan Malaysia.

"Oleh itu, mengapa kita tidak boleh bertolakansur untuk menjadikan tarikh 16 September sebagai sebahagian daripada hari kebesaran negara untuk dijadikan cuti umum," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semalam yang berkata, kerajaan bersetuju menjadikan tarikh penubuhan Malaysia pada 16 September sebagai perayaan Hari Malaysia yang akan disambut di seluruh negara.

Mohd Shafie dilaporkan sebagai berkata, Hari Malaysia lebih signifikan disambut di seluruh negara berbanding sebelum ini, di mana sambutan hanya dibuat di Sabah dan Sarawak.

Perayaan Hari Malaysia tahun ini akan diadakan pada 18 Oktober depan di Sabah ekoran 16 September jatuh pada bulan Ramadan.

Khoo mencadangkan kepada kerajaan agar 16 September setiap tahun harus dijadikan sebagai puncak perayaan sambutan hari kemerdekaan negara selepas 31 Ogos.

"Kita mulakan dengan sambut 31 Ogos dan 16 September sebagai hari puncak perayaan. Dua minggu saja tempohnya dengan hari mula dan hari terakhir dijadikan hari cuti. Bukan susah sangat," katanya.

Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr. Sarjit Singh Gill berkata cadangan kerajaan mengisytiharkan cuti umum pada 16 September akan memberikan pengiktirafan kepada Sabah dan Sarawak yang menyertai penubuhan Malaysia.

Beliau berpendapat kedua-dua perayaan (Merdeka dan Hari Malaysia) akan menyuntik semangat perpaduan dan integrasi sesama kaum yang lebih tinggi.

"Keprihatinan kerajaan mengisytiharkan cuti umum pada 16 September akan sedikit sebanyak mewujudkan semangat kekitaan di kalangan masyarakat Sabah dan Sarawak sebagai warganegara Malaysia," katanya.

Bekas pensyarah di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya, Dr. Rokiah Talib pula dalam reaksinya berkata, kerajaan harus mengkaji sedalam-dalamnya dahulu sebelum mempertimbangkan untuk mengisytiharkan cuti umum pada 16 September.

Beliau juga menyatakan rasa kebimbangannya akan produktivi negara jika kerajaan mengisytiharkan cuti umum pada 16 September.

"Rakyat Malaysia sekarang menikmati banyak cuti umum dan saya risau akan keberkesanan produktiviti negara akibat daripada pemberian cuti ini," katanya sambil menambah langkah pemberian cuti ini akan sedikit sebanyak merapatkan jurang antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain