suria

Suara Keadilan balas surat KDN, tarik balik laporan kesihatan Musa

PETALING JAYA: Suara Keadilan telah membalas surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), semalam.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berkata, bersama surat itu pihaknya turut menyertakan salinan naskhah terbaru Suara Keadilan yang memuatkan pembetulan dan penarikan balik berita mengenai kesihatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan.

“Sudah... sudah bagi. Kami telah menghantar surat kepada KDN semalam yang disertakan dengan salinan naskhah terbaru Suara Keadilan,” ujar beliau ketika dihubungi.

Tian berkata, selepas Musa membuat penjelasan mengenai kesihatan beliau pada sidang media baru-baru ini, Suara Keadilan yang merupakan akhbar rasmi PKR telah membuat pembetulan sewajarnya.

“Dalam edisi terbaru Suara Keadilan, kami telah menerbitkan pembetulan dan menarik balik berita mengenai kesihatan Ketua Polis Negara.

“Kesilapan melaporkan berita adalah merupakan perkara yang selalu akan berlaku, saya rasa itu bukan isu lagi,” katanya kepada mStar Online.

Beliau juga menyatakan surat itu dihantar dalam waktu ditetapkan dan pihak KDN telah memberi maklum balas kepada PKR bahawa mereka telah menerima surat tersebut.

“Surat tunjuk sebab itu diserahkan dengan tangan di pejabat Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Bahagian Kawalan Penerbitan & Teks Al-Quran di Putrajaya pada 19 September (semalam),” katanya.

“Cap akuan penerimaan pada tarikh itu telah pun diperoleh dari pejabat KDN,” jelas beliau dalam kenyataan diemelkan kepada mStar Online.

Beliau bertambah, salinan surat itu juga telah dihantar dalam bentuk faks ke pejabat KDN pada tarikh yang sama.

Semalam, Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof menyatakan sehingga petang semalam pihaknya tidak menerima sebarang penjelasan daripada Suara Keadilan berhubung surat tunjuk yang dihantar kepada mereka.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain