suria

Teresa akan saman Utusan Malaysia, Zaini Hassan, Khir Toyo dan kerajaan Malaysia.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, 44 yang dibebaskan hari ini akan memfailkan saman terhadap akhbar Utusan Malaysia dan pengarang akhbar tersebut, Zaini Hassan kerana menulis artikel berunsur fitnah terhadapnya.

Beliau juga akan menyaman bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir berhubung kenyataan yang memfitnah beliau dan kerajaan Malaysia kerana penahanan yang disifatkan tidak mengikut undang-undang yang dibuat terhadap beliau di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Saya telah memberitahu peguam saya (Sankara Nair) yang saya akan menyaman mereka.

“Saya telah pun membuat laporan polis pada 17 September lalu terhadap Utusan Malaysia, Zaini Hassan dan Dr Khir Toyo kerana melakukan fitnah jenayah terhadap saya.

“Saya dengan ini menggesa pihak polis menyiasat pengarang-pengarang Utusan Malaysia, penulis-penulis blog yang bersifat perkauman dan Dr Khir Toyo di bawah Kanun Keseksaan.

"Saya menganggap penahanan saya itu sebagai satu helah oleh Umno untuk menutup rasa malunya terhadap kenyataan (Datuk) Ahmad Ismail (Ketua Umno Bukit Bendera) yang berbaur perkauman,” katanya ketika sidang media di ibu pejabat DAP petang tadi selepas dibebaskan kira-kira jam kira-kira jam 1 tengah hari tadi selepas ditahan selama lapan hari di bawah ISA.

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan beberapa Ahli Parlimen DAP.

Menurut Teresa, beliau tidak diberitahu sebab beliau dibebaskan namun katanya, beliau berasa gembira dan lega dengan pembebasannya itu setelah polis gagal untuk membuktikan beliau terlibat dalam aktiviti yang boleh menimbulkan ketegangan agama dan kaum.

“Mereka hanya bertanya saya tiga soalan yang sama sebanyak dua kali berdasarkan sepenuhnya kepada artikel palsu dan dengki yang ditulis Zaini Hassan bertajuk “Azan, Jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya” yang diterbitkan Utusan Malaysia pada 10 September 2008,” katanya.

Teresa berkata, antara soalan yang ditanya adalah pertama, sama ada beliau menggerakkan sekumpulan penduduk di Bandar Kinrara untuk memberi petisyen membantah azan di masjid Bandar Kinrara; kedua, sama ada beliau membuat kenyataan bahawa 30 peratus peruntukan Jabatan Agama Islam (JAIS) diberikan kepada pertubuhan agama bukan Islam yang lain dan ketiga, sama ada beliau membantah penggunaan tulisan jawi di papan tanda jalan di Kuala Lumpur.

“Saya menafikan dua tuduhan pertama kerana saya tidak melakukannya. Saya juga memberitahu mereka bahawa isu membantah tulisan jawi di papan tanda yang dilakukan pada Januari atau Februari adalah atas permintaan persatuan penduduk yang sebahagiannya di Taman Seputeh.

“Kebanyakan papan tanda ditukar sewenang-wenangnya oleh DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) beberapa bulan sebelum itu dan kemudiannya ditukar lagi dengan tulisan jawi dan penduduk membantahnya kerana ia membazirkan duit rakyat,” katanya.

Teresa berkata, beliau terkejut kerana tidak dikemukakan soalan-soalan lain oleh pihak polis dan tiga soalan yang ditanyakan kepada beliau tidak berkaitan langsung dengan ancaman keselamatan yang menjadi sebab kepada penahanan beliau seperti yang didakwa sebelum ini.

Teresa berkata, beliau berasa marah dan menyifatkan tindakan pihak polis menahannya di bawah ISA berdasarkan artikel yang disifatkan beliau tidak berasas yang ditulis Zaini sebagai karut.

Beliau turut mempertikaikan tindakan pihak polis yang hanya mengambil keterangan pegawai dari masjid Bandar Kinrara yang menafikan beliau terlibat dalam petisyen bantahan azan itu hanya selepas seminggu beliau ditahan.

Menceritakan pengalamannya ditahan di lokap, Teresa berkata, pegawai polis bertugas di situ melayaninya dengan baik. Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengecam lokasi sebenar beliau ditahan kerana beliau diarahkan memakai kaca mata hitam.

“Pada mulanya saya digari dan mata saya ditutup untuk dibawa ke bilik pegawai penyiasat namun selepas saya meminta supaya saya tidak digari, mereka akur.

“Tapi saya rasa ia adalah kawasan pendalaman berdekatan Selayang,” katanya.

Teresa berkata, beliau diberi makan dua biji telur pada waktu tengah hari dan dua biji telur pada waktu malam bersama sedikit kuah.

Katanya, keadaan di dalam lokap itu agak panas dan beliau diberi sebuah bible untuk dibaca.

Beliau berkata, beliau menemui pegawai penyiasat kira-kira lima jam sehari walaupun beliau sudah memberi kenyataan bertulis kepada pihak polis pada hari ketiga beliau ditahan.

Sementara itu, Lim ketika diminta mengulas pembebasan Teresa selepas lapan hari ditahan membuktikan ISA telah disalah gunakan.

Lim berkata, ISA adalah undang-undang tidak berasas dan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya kecuali terbukti wujudnya kes.

Katanya, Pakatan Rakyat akan memansuhkan ISA sekirannya mereka mengambil alih pentadbiran negara daripada BN.

Artikel Berikut

Artikel Lain