suria

Pesawat ATR 42-500 dilapor hilang dari radar, pasukan SAR digerakkan ke lokasi terakhir

Pesawat ATR 42-500 hilang dari radar tanpa sempat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin. -Foto Ihram

SEBUAH pesawat ATR model 42-500 milik Indonesia Air Transport dilaporkan terputus hubungan di daerah Maros, Sulawesi Selatan, pada petang Sabtu.

Pesawat dalam penerbangan dari Yogyakarta ke Makassar itu dipercayai hilang dari radar sekitar pukul 1.17 tengah hari sebelum sempat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin.

Agensi Mencari dan Menyelamat Makassar (Basarnas) memaklumkan pihaknya telah mengerahkan pasukan penyelamat ke lokasi terakhir pesawat dikesan, berdasarkan koordinat yang diberikan oleh AirNav.

Menurut Ketua Operasi Basarnas Makassar, Andi Sultan, kawasan pesawat itu hilangan hubungan dipercayai berhampiran Leang-leang berdekatan sempadan Maros dan Kepulauan Pangkajene (Pangkep).

"Kami sedang bergerak ke lokasi yang dimaklumkan AirNav di kawasan Leang-leang, daerah Maros," katanya.

Pasukan SAR gabungan pada peringkat awal membabitkan kira-kira 25 anggota dan dijangka ditambah sehingga 40 orang bagi mempercepatkan operasi mencari dan menyelamat dilakukan.

Selain pasukan darat, Basarnas turut menggerakkan sebuah trak anggota, kenderaan penyelamat serta dron bagi tujuan pemantauan udara.

Ketua Operasi Basarnas Makassar, Hamsidar berkata, laporan kehilangan hubungan diterima daripada Pengurus Besar AirNav Makassar, Kristanto.

Maklumat awal menyebut pesawat itu membawa seramai 11 individu, terdiri daripada lapan anak kapal dan tiga penumpang.

Dalam kenyataan rasmi, pesawat berkenaan dikenal pasti sebagai ATR, dipercayai model ATR 42-500 milik Indonesia Air Transport.

Setakat ini, pihak berkuasa belum mengesahkan punca kehilangan hubungan dan usaha tertumpu kepada menilai koordinat terakhir yang direkodkan pihak penerbangan. -Agensi

Artikel Lain

Ben Amir kini sah bergelar suami