suria

Lelaki bunuh kakak ipar, jiran selepas syak jalin hubungan sulit

Suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau tampil menyerah diri di balai polis. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki berusia 35 tahun didakwa membunuh jiran dan kakak iparnya sendiri dalam kejadian berdarah di daerah Fatehpur, Uttar Pradesh, India, pada petang Jumaat.

Suspek yang dikenali sebagai Dildar Qureshi dipercayai bertindak demikian kerana mengesyaki kedua-dua mangsa menjalinkan hubungan sulit.

Menurut polis, suspek memanggil jirannya, Faizan, 45, ke sebuah kebun kira-kira satu kilometer dari rumahnya sebelum berlaku pertengkaran.

Faizan dipercayai ditikam di bahagian perut sebelum berjaya melarikan diri.

Mangsa bagaimanapun rebah tidak jauh dari lokasi pertengkaran dan kemudiannya dikelar hingga mati di tempat kejadian.

Susulan tindakan tersebut, suspek kemudiannya bertindak menyerang kakak iparnya, Zikra Parveen, 25, dengan menikam wanita itu beberapa kali sejurus tiba di rumah.

Adik perempuannya, Mannu, 23, turut diserang ketika cuba meleraikan pergaduhan.

Kedua-dua mangsa dikejarkan ke hospital, namun kakak ipar suspek disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, manakala Mannu dirujuk ke Hospital Lala Lajpat Rai (LLR) di Kanpur.

Ketua Polis Fatehpur, Anoop Kumar Singh, berkata siasatan awal mendapati suspek berang selepas mendakwa pernah melihat kakak ipar dan jirannya dalam keadaan mencurigakan.

"Suspek mengesyaki kedua-dua mangsa mempunyai hubungan sulit dan adiknya turut bersubahat. 

"Pisau yang digunakan telah dirampas," katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah, suspek tampil menyerah diri di Balai Polis Thariaon.

Polis turut memaklumkan suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

Untuk rekod, Zikra yang berkahwin sejak 2019 meninggalkan tiga anak perempuan yang masih kecil. -Agensi

Artikel Lain

Bekas wartawan FMT ditahan