suria

Kaki anak autistik ‘ditoreh’ dengan pembaris, dikurung dalam loker oleh guru sekolah

Rakaman CCTV menunjukkan kanak-kanak autistik berkenaan (kiri) diiring oleh guru terbabit dalam keadaan kesakitan. -Foto Thaiger

SEORANG ibu mendakwa polis melengah-lengahkan siasatan terhadap kes penderaan fizikal melibatkan anak lelakinya yang menghidap autisme oleh seorang guru.

Wanita berusia 45 tahun itu berkata, anaknya yang berusia 12 tahun dan pelajar di sebuah sekolah di daerah Bang Bua Thong, Nonthaburi, Thailand ditoreh menggunakan pembaris tajam pada bahagian kaki sebelum dikunci di dalam sebuah loker selama hampir sejam.

Wanita itu berkata kejadian berkenaan dipercayai berlaku pada 12 Disember tahun lalu.

Menurutnya, dia mula mengesyaki sesuatu selepas melihat perubahan ketara pada tingkah laku anaknya yang sering menangis, kelihatan murung serta berulang kali menulis perkataan loker dan sedih di atas kertas.

Anaknya juga kerap menuturkan perkataan seperti sakit hati, degil dan masuk loker sebelum akhirnya memberitahu bahawa dia didera oleh seorang guru wanita di sekolahnya.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekolah didakwa menunjukkan guru terbabit mengiringi anaknya keluar dari bilik darjah, dengan kanak-kanak itu kelihatan kesakitan dan berjalan dalam keadaan berbeza berbanding sebelum masuk ke kelas.

Susulan kejadian itu, dia mendakwa anaknya menjadi takut untuk ke sekolah dan menunjukkan tanda-tanda tekanan emosi.

Wanita tersebut memfailkan laporan polis pada 17 Disember di Balai Polis Bang Bua Thong, selain meminta bantuan Porramate Chaipatcharakunpong, penasihat kepada Menteri Pendidikan, bagi membantu menangani kes berkenaan.

Bagaimanapun, guru yang terbabit menafikan semua dakwaan yang dilontarkan terhadapnya.

Sementara itu, pihak polis menafikan dakwaan siasatan dilengah-lengahkan dan menjelaskan siasatan masih dijalankan kerana perlu menyoal semua pihak terlibat, termasuk kanak-kanak terbabit. 

Tambah polis, guru berkenaan dijangka dipanggil semula untuk soal siasat lanjut. -Agensi

Artikel Lain

Haqiem Stopa sah bercerai talak satu