suria

FDI Terlalu Lewat Untuk Kingfisher?

NEW DELHI: Penggantungan semasa perkhidmatan Kingfisher Airlines, syarikat penerbangan yang pernah berusaha melakar penanda aras baru bagi industri penerbangan di India, sangat menyedihkan.

Dimiliki oleh Vijay Mallya, jutawan minuman keras, syarikat penerbangan itu dibebani hutang sebanyak AS$2.49 bilion dan kerugian terkumpul sebanyak AS$1.9 bilion sehingga 30 Jun, 2012.

Jurutera dan juruterbang kini mogok kerana tidak dibayar gaji selama lebih enam bulan.

Masalah itu bukan perkara baru dan apa yang dialami oleh Kingfisher merupakan bantahan berterusan pekerjanya yang tidak berpuas hati.

Kini masalah itu semakin buruk apabila media India melaporkan bahawa seorang isteri pekerja Kingfisher membunuh diri berikutan masalah kewangan keluarga yang semakin buruk.

Ia juga menunjukkan ketidakupayaan syarikat penerbangan itu untuk merealisasikan prinsip tersendirinya - "Membina sebuah organisasi bersama mereka yang memilih untuk bergembira, dan akan berusaha untuk mempengaruhi tetamu kami dan rakan sekerja untuk turut gembira."

Penguasaan pasaran Kingfisher merosot 3.2 peratus pada Ogos berbanding 6.4 peratus pada Mac, menjadikannya peserta terkecil dengan saiz kumpulan hanya 20 pesawat berbanding 64 sebelum ini.

Syarikat penerbangan itu menghentikan operasinya sehingga dimaklumkan kelak memandangkan kebolehgunaan pesawat berkenaan perlu disahkan oleh jurutera, yang kini mogok.

Ia kini menghadapi kemungkinan ditutup berikutan Ketua Direktorat Penerbangan Awam (DGCA), pengawal selia penerbangan India, telah mengeluarkan notis surat tunjuk sebab kepada Kingfisher Airlines mengapa permit itu tidak boleh dibatalkan.

DGCA berkata, syarikat penerbangan itu gagal menyediakan perkhidmatan yang "selamat, cekap dan dipercayai".

"Kingfisher mesti menjawab surat tunjuk sebab bertarikh 5 Okt itu dalam tempoh 15 hari."

Kingfisher menyokong kuat pelaburan langsung asing (FDI) dalam industri penerbangan India dan mahu sektor itu dibuka kepada syarikat penerbangan lain.

Kerajaan mengambil masa berbulan-bulan sebelum mengumumkan pada 14 September bahawa syarikat penerbangan asing akan dibenarkan mengambil alih kepentingan sehingga 49 peratus dalam syarikat penerbangan komersil India.

Kementerian Perdagangan berkata, menghapuskan sekatan ke atas pelaburan oleh syarikat penerbangan asing akan membantu membawa masuk pelabur strategik dalam sektor penerbangan awam.

Perubahan dasar FDI yang membenarkan syarikat penerbangan asing melabur di India disambut baik, namun ia tidak dapat memberikan penyelesaian segera terhadap masalah Kingfisher, kata penganalisis industri Pusat Penerbangan (CAPA) berkata dalam satu laporan mengenai Kingfisher.

"CAPA tidak menjangkakan mana-mana syarikat penerbangan asing akan melabur dalam Kingfisher dalam keadaan semasanya yang dibebani hutang yang besar, kumpulan pesawat yang lumpuh dan pekerja yang kini dalam keadaan moral yang rendah," katanya.

Akhbar India, Ekonomi Times, memetik seorang pegawai bank yang melaporkan hutang Kingfisher yang besar akan menghalang pelabur daripada mengambil kepentingan dalam syarikat pengangkut itu.

Mallya berkata baru-baru ini syarikat itu berbincang dengan kumpulan peminjam asing untuk memproleh dana.

Pratip Chaudhuri, Pengerusi Bank Negara India, yang mengetuai sekumpulan peminjam untuk syarikat penerbangan yang bermasalah itu, berkata bank mahu memberi pemilik Kingfisher peluang untuk mencari pelabur.

"Bank-bank masih memberi masa untuk Mallya mendapatkan pelabur memandangkan jika tidak, keputusan tidak boleh ditarik balik," kata Chaudhuri dipetik oleh akhbar itu.

"Walaupun India dengan lebih daripada 1.2 bilion penduduk dilihat sebagai sebagai destinasi menarik untuk pelabur, tidak ada tanda-tanda bahawa syarikat penerbangan asing tergesa-gesa untuk melabur di India memandangkan kos operasi yang tinggi di sini.

"Masalah Kingfisher bagaimanapun mencerminkan isu struktur dalam industri. Perniagaan syarikat penerbangan sangat mencabar kerana ia berintensifkan modal, sangat kompetitif, tertakluk kepada kitaran permintaan dan sensitif kepada kejutan luaran seperti harga bahan yang tinggi," kata CAPA.

Di India ini diburukkan lagi oleh cukai yang tinggi, infrastruktur yang kurang dan dasar yang lemah dan tidak menentu dan rangka kerja pengawalseliaan.

CAPA berkata, syarikat penerbangan asing tidak akan tergesa-gesa masuk melabur di India sehingga isu-isu ini ditangani.

Walaupun menunjukkan minat, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes, menyatakan bahawa persekitaran di India perlu kondusif bagi syarikat penerbangan tambang rendah itu memasuki India.

"Cukai lapangan terbang sangat tinggi dan saya juga mendengar bahawa mereka akan menaikkannya, memaksa banyak syarikat penerbangan menghentikan operasi ke beberapa destinasi," katanya baru-baru ini.

Dalam usaha menjadi Kingfisher sasaran pelaburan, ia sekurang-kurangnya memerlukan AS$600 juta modal, menyusun semula hutang hutang, menghidupkan semula kumpulan pesawat, serta menyelesaian isu pekerja mengikut ketetapan CAPA.

CAPA berpendapat Kingfisher perlu diberikan peluang untuk menyusun semula.

Sekiranya perubahan dasar FDI dibuat lebih awal, syarikat penerbangan itu mungkin berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menarik pelabur. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain