Pengeluar Tempe Dan Tauhu Ancam Berdemonstrasi Lagi - Dunia | mStar

Pengeluar Tempe Dan Tauhu Ancam Berdemonstrasi Lagi

JAKARTA: Harga kacang soya yang terus melonjak menyebabkan pengusaha tauhu dan tempe di Jakarta dan bandar di sekitarnya memberi kata dua kepada kerajaan - kawal kenaikan harga atau mereka akan berdemonstrasi lagi.

Pada Julai lalu, mereka bertindak menghentikan pengeluaran tauhu dan tempe selama tiga hari serta mengadakan demonstrasi menuntut kerajaan mengawal kenaikan harga kacang soya.

Kacang soya adalah bahan mentah utama pembuatan tauhu dan tempe, iaitu makanan harian kegemaran kebanyakan penduduk Indonesia yang berjumlah 240 juta orang, namun sebahagian besar bekalannya terpaksa diimport bagi menampung keperluan dalam negeri.

Pada masa ini harga kacang soya di Indonesia dilapor berlegar antara Rp7,300 hingga Rp7,900 sekilogram dan kerajaan dilapor hanya sanggup mengawal harganya pada kadar Rp7,000 sekilogram.

Para pengusaha pula mahu harga itu dikawal pada kadar Rp5,500 sekilogram bagi membolehkan mereka meneruskan pengeluaran seperti biasa.

Ketua Koperasi Tauhu Tempe Indonesia (Kopti) cawangan Jakarta Suharto berkata kira-kira 50,000 pengusaha makanan itu akan berdemonstrasi jika tuntutan mereka tidak dipenuhi oleh kerajaan.

Mereka merancang mengadakan tunjuk perasaan di depan Istana Merdeka, iaitu pejabat Presiden Indonesia dan di luar Dewan Perwakilan Rakyat, Parlimen Indonesia pada pertengahan bulan ini.

Suharto tidak menolak kemungkinan pengusaha juga akan bertindak menghentikan pengeluaran mereka.

Katanya 115,000 pengusaha tauhu dan tempe yang bernaung di bawah Kopti menuntut kerajaan melaksanakan tiga perkara iaitu mengawal sistem perniagaan kacang soya melalui Badan Urusan Logistik (Bulog), mengehadkan kuota import kacang soya dan menstabilkan harga kacang soya.

Beliau berkata ratusan rumah pengusaha tauhu dan tempe kini berisiko disita kerana mereka tidak dapat membayar tunggakan hutang pembelian kacang soya itu, sementara koperasi pula tidak mampu untuk membantu kerana jumlah wang yang terlibat adalah besar. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

FDI Terlalu Lewat Untuk Kingfisher?

Artikel Berkaitan

default image

Iran Hukum Gantung 10 Pengedar Dadah

Klik

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Lain