Asyikin (kanan) hadir ke Mahkamah Seremban pada Rabu atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap pelajar.
SEORANG guru wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan pada Rabu atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap pelajar lelaki berusia 14 tahun sejak tahun lalu.Bagaimanapun tertuduh, Nurul Asyikin Sutan Shahril, 42, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aishah Ab Rashid. Mengikut tiga pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, guru kelas tersebut didakwa melakukan amang seksual fizikal termasuk seks oral terhadap pelajar terbabit, yang mana mangsa mempunyai hubungan amanah dengannya sebagai seorang anak murid.Perbuatan itu didakwa dilakukan di bawah pokok berhampiran Apartment Arowana, Seremban 2 serta di sebuah rumah di Taman Nusa Intan, Seremban antara 12 September 2025 hingga 7 April lalu.Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] dibaca bersama Seksyen 16 akta sama dan boleh dihukum di bawah peruntukan berkenaan.Asyikin juga berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan [Akta 574] dibaca bersama Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.Bagi kesalahan di bawah Seksyen 16 pula, hukuman diperuntukkan adalah penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.Tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa dengan menunjukkan gambar alat sulitnya menerusi aplikasi WhatsApp bagi tujuan seksual selain mendorong mangsa menghantar gambar sama antara 13 September 2025 hingga 10 April tahun ini di sebuah bilik apartment di Seremban 2.Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 15(a)(i) dan Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan didenda tidak melebihi RM20,000.Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin selain syarat melaporkan diri di balai polis setiap bulan, tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport.Peguam Zaflee Pakwanteh memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya bekerja sebagai guru dengan pendapatan RM6,000 sebulan.Menurutnya, tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak hanya mampu menyediakan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan.Beliau turut memaklumkan tertuduh telah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah selepas laporan polis dibuat terhadapnya.Prosiding itu turut dihadiri peguam pemerhati, Nurul Ain Syamimie Anuar mewakili firma guaman Zahid Ahmad & Associates.Susulan itu. mahkamah menetapkan jaminan RM25,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.