suria

Sambutan Minggu Malaysia London 2012 Melebihi Sasaran

LONDON: Kira-kira 154,300 orang mengunjungi Minggu Malaysia London 2012 yang berlangsung di South Bank di sini, dalam tempoh dua hari sejak dilancar pada Sabtu.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Abdul Ghaffar A.Tambi berkata angka itu melepasi sasaran 150,000 pengunjung untuk tempoh lima hari program sehingga Rabu ini.

"Kita telah merekodkan sejak pada hari pertama pada Sabtu, seramai kira-kira 74,300 orang telah mengunjungi gerai kita.

"Semalam dimaklumkan lebih ramai pengunjung telah hadir dan kira-kira 80,000 orang telah mengunjungi tapak acara ini. Berdasarkan kepada jumlah yang telah direkodkan bagi tempoh dua hari program itu, Alhamdulillah, ia telah melebihi sasaran yang ditetapkan," katanya kepada pemberita Malaysia yang membuat liputan program itu, di sini pada Isnin.

Katanya faktor cuaca yang baik mungkin turut menyumbang kepada peningkatan kehadiran pengunjung terbabit.

Program anjuran bersama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Pelancongan dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) itu dirasmikan Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim pada Sabtu lepas.

Minggu Malaysia yang bertema 'Faces of 1Malaysia' memperkenalkan seni budaya, warisan dan kepelbagaian cara hidup di negara ini, yang mencerminkan kehidupan bersatu dalam kepelbagaian, ke peringkat antarabangsa.

Antara aktiviti yang diatur ialah persembahan kebudayaan dan seni silat berkonsepkan 1Malaysia, demonstrasi dan jualan kraf, pameran dan jualan karya seni visual, peragaan fesyen dan tekstil serta permainan tradisional Malaysia.

Abdul Ghaffar yang juga pengerusi program itu, berkata pengunjung termasuk rakyat Britain dan pelancong dari negara lain juga sanggup menunggu persembahan kebudayaan sekalipun hujan.

Beliau turut berpendapat penganjuran Minggu Malaysia secara bersepadu bersama kementerian lain khususnya Kementerian Pelancongan dan Matrade adalah baik kerana peranan mereka adalah untuk membawa masuk pelancong dan ahli perniagaan dari luar negara ke Malaysia.

"Peranan kementerian ialah membuat pengisian program untuk menarik orang ramai mengunjungi tapak program," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain