suria

Ahli Psikologi Dampingi Keluarga Menatap Jasad Mangsa Nahas Sukhoi

Ahli keluarga salah seorang mangsa nahas yang merupakan rakyat Indonesia iaitu Aan Husdiana, juga seorang juruterbang di Republik itu yang ditugaskan untuk menilai pesawat buatan Rusia, Sukhoi Superjet 100. Foto EPA

JAKARTA: Ahli-ahli psikologi pada Selasa mendampingi para anggota keluarga terdekat yang diberi kesempatan menatap untuk kali terakhir jasad mangsa nahas pesawat awam Sukhoi Superjet 100 di Hospital Polis Indonesia di Keramat Jati, Jakarta Timur, sebelum 45 keranda yang berisi mayat-mayat itu ditutup.

Pihak berkuasa hospital menyediakan 12 ahli psikologi untuk tujuan itu dan hanya tiga anggota keluarga dibenarkan menatap jasad keluarga mereka.

Mayat-mayat itu adalah 45 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu yang ditemui terhempas di Gunung Salak, Bogor, Jawa Barat, ketika sedang mengadakan penerbangan demonstrasi pada 9 Mei lalu.

Anggota keluarga diberi masa 10 minit untuk melihat mayat anggota keluarga masing-masing dalam kesempatan itu yang berlangsung dari pukul 1 petang hingga pukul 8 malam ini.

Mereka bagaimanapun terlebih dahulu akan dinilai oleh ahli psikologi sama ada mereka kuat semangat dan bersedia untuk melihat jasad orang yang tersayang itu yang tidak lagi utuh dan dalam keadaan yang amat menyayat hati.

Ahli psikologi Mira Rumeser adalah antara mereka yang menasihatkan anggota keluarga terdekat seperti ibu, anak atau kakak supaya lebih baik tidak menatap jasad berkenaan.

Alasannya ialah pengalaman itu boleh memberi kesan seperti tidak dapat tidur, tidak dapat makan dan tidak dapat berfikiran jelas selama beberapa waktu kerana mereka akan mengalami kesan terbayang-bayang rupa jasad itu setiap kali menutup mata.

Ada di antara anggota keluarga memilih untuk tidak melihat jasad orang yang tersayang itu, namun beberapa anggota keluarga yang memilih untuk melihat, telah melahirkan rasa puas dengan keadaan mayat anggota keluarga mereka itu.

Selepas sesi ini, semua mayat itu akan dibawa ke Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta Timur, pada Rabu untuk urusan penyerahan secara rasmi kepada keluarga masing-masing bagi tujuan pengkebumian.

Mangsa-mangsa nahas pesawat itu termasuk lapan orang anak kapal dari Rusia yang mengendalikan pesawat itu, yang sedang diperkenalkan untuk pasaran Indonesia. - BERNAMA

Artikel Lain