suria

Avengers Atasi Battleship Di Box Office Amerika

LOS ANGELES: Filem adaptasi dari komik Marvel "The Avengers" terus mengungguli kutipan box office Amerika Utara mengatasi sebuah lagi filem adaptasi berjudul "Battleship" yang baru dilancarkan minggu ini di Amerika Syarikat.

Filem superhero itu berjaya mengutip AS$55.6 juta sepanjang minggu lalu di Amerika Utara, kata treker box office, Exhibitor Relations.

"The Avengers" kini mencatat sejarah sebagai filem paling tinggi kutipan jualan tiket dalam sejarah Walt Disney Studios dengan jumlah jualan global AS$1.18 bilion - sekaligus menjadikannya sebagai filem keempat dengan kutipan tertinggi dalam sejarah dunia.

"The Avengers" - yang membawa Iron Man, Incredible Hulk, Kapten America dan Thor - dalam satu filem diarahkan oleh Joss Whedon dengan kerjasama Marvel Comics.

Ia dihasilkan dengan modal berjumlah AS$220 juta.

Kejayaan luar biasa "The Avengers" telah banyak membantu pihak Disney untuk offset kegagalan filem sains fiksyen "John Carter" yang turut menelan belanja AS$200 juta tetapi rugi besar di pasaran.

Kegagalan "John Carter" yang ditayangkan Mac lalu telah menyebabkan Ketua Pegawai Eksekutif Walt Disney Studios, Rich Ross meletakkan jawatan.

Di tempat kedua minggu lalu, filem yang baru dilancarkan di Amerika Utara "Battleship," berjaya mengutip AS$25.5 juta.

Di belakang "Battleship" ialah filem komedi Sacha Baron Cohen "The Dictator," yang berjaya mengutip AS$17.4 juta pada minggu pertamanya di pawagam.

Manakala di tempat keempat ialah filem arahan Tim Burton lakonan Johnny Depp "Dark Shadows," dengan kutipan $12.6 juta.

Sebuah lagi filem baru, "What to Expect When You're Expecting" berjaya menduduki tangga kelima dengan kutipan sebanyak AS$10.5 juta diikuti filem komedi "The Best Exotic Marigold Hotel," dengan kutipan AS$3.2 juta.

Bagaimanapun, filem yang masih mampu bertahan untuk sekian lamanya "The Hunger Games" menduduki tangga ketujuh box office dengan kutipan sebanyak AS$3 juta.

Filem ini telah berjaya mengutip AS$387 juta di Amerika Utara sahaja sejak ia ditayangkan lebih sebulan yang lalu.

Filem komedi romantik, "Think Like A Man" jatuh ke tangga kelapan dengan hanya kutipan sekadar AS$2.7 juta diikuti oleh filem "The Lucky One," iaitu filem adaptasi dari novel popular Nicholas Sparks lakonan Zac Efron, hero "The High School Musical".

Ia hanya mengutip jualan tiket sebanyak AS$1.8 juta.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain