suria

Nasrep Sertai PRU 2014 Melalui Gabungan Dengan Parti Lain

JAKARTA: Setelah gagal memenuhi syarat melayakkan diri untuk pilihan raya umum (PRU) Indonesia pada 2014 di peringkat pendaftaran pada tahun lepas, Parti Nasional Republik (Nasrep) yang diasaskan anak Persiden Soeharto, Hutomo Mandala Putera atau lebih kenali sebagai Tommy Soeharto, menggunakan cara lain untuk meluluskan diri.

Nasrep memilih untuk bergabung dengan Parti Nurani Ummah (PNU) yang telahpun terdaftar dan pimpinan parti gabungan itu kemudiannya membuat keputusan menukarkan nama PNU kepada Nasrep.

Penggabungan dan penukaran nama parti berkenaan kepada Nasrep telah disahkan pendaftarannya pada 4 Januari lepas, demikian menurut laporan media.

Nasrep, menyokong Tommy Soeharto sebagai calon presiden pada pilihan raya umum Presiden Indonesia, yang dijadualkan pada 2014.

Sebelum ini, Nasrep telah menarik diri daripada proses pengesahan pendaftarannya oleh Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia.

Parti-parti politik yang ingin mendaftar bertanding dalam pilihan umum di Indonesia harus memenuhi syarat-syarat ketat dalam Undang-undang Parti-parti Politik yang baru di republik itu.

Syarat-syarat itu termasuklah mempunyai sekurang-kurangnya 1,000 anggota parti di seluruh negara dan sekurang-kurangnya 30 anggota berdaftar di tiap satu daripada 33 negeri di Indonesia.

Undang-undang itu juga mensyaratkan bahawa parti politik mesti mempunyai pejabat dan anggota tetap di 75 peratus daripada daerah-daerahnya dan 50 peratus di peringkat kesemua daerah kecilnya di seluruh negara.

Nasrep selepas ini akan mendaftarkan diri dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) untuk mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Presiden dan Pilihan Raya Parlimen.

Semasa proses pendaftaran dan pengesahan pada tahun lepas, daripada 14 buah parti politik yang memohon untuk menyertai pilihan raya umum 2014, Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia hanya meluluskan pendaftaran untuk sebuah parti politik sahaja iaitu Parti Nasional Demokrat (Nasdem).

Seorang anggota KPU menyatakan bahawa helah yang digunakan oleh Nasrep itu untuk mendapat pengesahan pendaftaran bagi menyertai pilihan raya umum, merupakan yang pertama berlaku dalam sejarah di Indonesia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain