suria

China Protes Hasrat Jepun Untuk Namakan Pulau-Pulau Yang Jadi Pertikaian

BEIJING: China pada Isnin membantah rancangan Jepun untuk memberi nama rasmi kepada gugusan pulau-pulau kecil yang menjadi pertikaian di antara kedua-dua buah negara itu.

Ini termasuklah 39 buah pulau yang tidak berpenghuni serta Kepulauan Diaoyu sebagaimana ia dikenali di China, demikian menurut agensi berita China, Xinhua News.

Di Jepun, kepulauan yang menjadi pertikaian ini dipanggil Kepulauan Senkaku.

Kepulauan ini juga menjadi rebutan Taiwan.

Ramai ahli geologi menyifatkan kepulauan ini kaya dengan deposit minyak dan gas.

Jurucakap Kementerian Luar China, Liu Weimin dalam satu kenyataan balas menegaskan Kepulauan Diaoyu sentiasa menjadi sebahagian dari China dan sebarang usaha untuk menamakannya secara rasmi akan dibantah.

Sejak awal tahun ini, Jepun seolah-olah menunjukkan provokasi apabila empat ahli politiknya telah menjejakkan kaki ke salah satu kepulauan berkenaan sehingga mencetuskan kemarahan Beijing.

Artikel Lain