suria

Ramos-Horta Umum Pertahan Jawatan Presiden Dalam Pilihan Raya 17 Mac Ini

DILI: Presiden Timur-Timor, Jose Ramos-Horta mengumumkan bahawa beliau akan bertanding untuk tempoh sepenggal lagi bagi jawatan tersebut dalam pilihan raya presiden 17 Mac ini.

Ini adalah pilihan raya umum yang kedua untuk Timur-Timor tetapi yang pertama sejak satu percubaan untuk membunuh Horta, 62, dilakukan pada Februari 2008.

Timur-Timor telah pun mencapai usia 10 tahun sebagai sebuah negara yang merdeka. Ia dahulu adalah sebahagian daripada wilayah Indonesia sehinggalah 2002.

Indonesia menduduki wilayah itu pada tahun 1975 sebaik sahaja Portugis meninggalkan Timur-Timor selepas 400 tahun menjajahnya.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 10 orang calon telah pun menyatakan hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya tersebut termasuklah ketua pembangkang, Francisco "Lu Olo" Guterres dan bekas panglima angkatan tentera Major Jeneral Taur Matar Ruak.

Para pemerhati politik bagaimanapun berkata, pilihan raya presiden itu akan tertumpu kepada tiga calon utama iaitu Horta, Lu Olo dan Ruak.

Sejak 2006, Timur-Timor telah dilihat mencapai tahap kestabilan sebagai sebuah negara baru yang mana sebelum itu tunjuk perasaan, pergaduhan antara puak dan rusuhan menjadi ancaman harian.

Pilihan raya parlimen dan pilihan raya presiden yang pertama berlangsung pada 2007.

Pada tahun itu, Ramos-Horta yang merupakan pemegang anugerah Nobel 1996 untuk keamanan bertanding sebagai calon tanpa parti tetapi menerima sokongan daripada Parti Kongres pimpinan Perdana Menteri Xanana Gusmao.

Gusmao adalah bekas pemimpin gerila yang menentang kerajaan Indonesia untuk kemerdekaan Timur-Timor.

Ramos-Horta mengalahkan Lu Olo dalam pilihan raya presiden 2007.

Pilihan raya ini akan dijalankan dalam dua pusingan. Jika tidak ada calon yang memperolehi majoriti kukuh untuk diisytiharkan sebagai pemenang, pemilihan pusingan kedua akan dilakukan pada bulan April - hanya untuk dua calon paling banyak memperolehi undi dalam pusingan pertama.

Timur-Timor mempunyai kira-kira 1.1 juta penduduk.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain