suria

[V] “Mereka masih ada ibu” - Azar Azmi tak jaga tujuh anak tiri, kahwin selepas suami bercerai dengan bekas isteri

PELAKON Azar Azmi tampil mempertahankan dirinya selepas dihujani pelbagai tuduhan jahat kononnya dia menjadi perampas serta membuat kenyataan mengelirukan mengenai anak-anak tiri.

Malah, Azar atau nama sebenarnya Azar Amir Azmi, 37, turut menegaskan bahawa dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mendakwa dirinya menggalas tanggungjawab menjaga tujuh orang anak tiri seperti yang tular di media sosial.

Menurut Azar, kesemua anak tirinya itu kini berada di bawah jagaan ibu kandung mereka dan dia hanya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada dua orang cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama suami.

"Ya, semua anak tirinya ada dengan ibu mereka. Lagipun, siapa yang keluarkan kenyataan yang cakap saya jaga mereka semua? Tidak. 

Azar bernikah selepas suaminya bercerai dengan isteri.

"Anak tiri semua dibawah tanggungan ibu kandung mereka sendiri. Yang saya jaga hanyalah anak saya sendiri. Ibu mereka masih ada, buat apa saya nak kena jaga?" katanya kepada mStar. 

Azar berkongsi perkara itu ketika ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka Media Prima pada Khamis.

Dalam pada itu, Azar turut menepis dakwaan kononnya dia menjadi orang ketiga sehingga mendorong keretakkan rumah tangga suami Mohd Apri Hazreen dengan bekas isteri.

Jelasnya, titik perkenalan mereka bermula hanya selepas suaminya itu sah bercerai, malah mereka tidak melalui fasa percintaan sebelum sepakat memutuskan untuk mendirikan rumah tangga pada tahun 2021.

ARTIKEL BERKAITAN: Enam tahun Abiejam cari Azar Azmi, nak tuntut hutang RM15,000

ARTIKEL BERKAITAN: Azar Azmi tak bercinta macam pasangan lain, suami datang jumpa terus ajak kahwin

"Saya memang kenal suami saya selepas mereka berpisah. Saya dan suami pun tidak pernah bercinta sebab dia terus berseloroh mahu berkahwin dengan saya. Kemudian perkara itu menjadi serius. 

"Kami bernikah pada 2021 dan sekarang ini mempunyai dua cahaya mata lelaki berumur tiga dan empat tahun," ujarnya. 

Enggan melayan spekulasi negatif itu, Azar menyerahkan segalanya kepada penilaian orang ramai memandangkan dia sudah menjelaskan perkara yang sebenar.

Azar tampil menjelaskan kekeliruan yang berlaku. 

"Untuk orang yang kata bukan-bukan itu, terpulanglah pada mereka nak cakap apa. Kalau saya tegakkan, terangkan pun, mereka akan cakap yang saya ini pelakon. Mampu untuk berlakon. 

"Terpulang nak percaya atau tidak, hanya orang yang tahu sahaja akan percaya. Saya tidak perlu nak ambil serius terhadap pandangan mereka," ujarnya. 

Untuk rekod, Azar dan Mohd Apri berkahwin pada 2021 dan dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki yang kini masing-masing berusia tiga dan empat tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain