suria

Laju buat kerja... 4 lelaki bertopi keledar larikan 21 dulang emas bernilai hampir RM10 juta

Tangkap layar (screenshot) kejadian samun di kedai emas dekat Jalan Tun Sambanthan yang tular di media sosial.

SEKUMPULAN lelaki bersenjata api menyamun sebuah kedai emas di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur pada Khamis, dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM9.7 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, empat suspek telah memasuki premis berkenaan sebelum mengacukan dua pucuk pistol.

"Suspek kemudian melarikan sebanyak 21 dulang emas yang dianggarkan seberat kira-kira 15 kilogram.

"Selain itu, sepucuk senapang patah bersama sebutir peluru milik pengawal keselamatan premis turut dilaporkan hilang dalam kejadian tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, pihak polis kini sedang giat menjalankan usaha bagi mengesan dan menahan semua suspek yang terlibat.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Sebelum itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan sekumpulan penjenayah bersenjata pistol dan bertopi keledar menyamun sebuah kedai emas di Sentral Suites, Brickfields, tular di media sosial.

Rakaman tersebut menunjukkan suspek menyerang seorang pengawal keselamatan sebelum melarikan barangan berharga dalam tempoh beberapa minit.

 

Artikel Lain