suria

Kad Pengenalan Tunggal Untuk Warga Indonesia

JAKARTA: Kerajaan Indonesia akan menentukan setiap warga negaranya hanya memiliki satu kad pengenalan setelah urusan Banci Penduduk 2010 (Sensus Penduduk 2010) selama sebulan mulai esok selesai, kata Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Dalam amanatnya yang disiarkan melalui televisyen malam ini, beliau berkata hasil banci itu akan memberikan data asas bagi pengembangan Nombor Induk Kependudukan (NIK) secara nasional.

"Berdasarkan NIK ini, setiap warga negara akan memiliki identiti tunggal yang bermanfaat untuk berbagai kepentingan.

"Menerusinya, kita dapat mengendalikan ketepatan sasaran dalam pelaksanaan program-program prorakyat.

"Melalui NIK, kita juga dapat mencegah manipulasi data kependudukan untuk kepentingan yang tidak baik, atau bahkan membantu pengungkapan tindak kejahatan," katanya.

Susilo bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana sistem pangkalan data menerusi banci penduduk itu akan digunakan untuk urusan pengeluaran kad pengenalan tunggal.

Pada masa ini, sebahagian warga Indonesia dilaporkan memiliki lebih daripada satu kad pengenalan rasmi berikutan pengeluaran kad pengenalan yang sangat mudah di peringkat negeri.

Dalam amanatnya itu, Susilo berkata banci penduduk kali ini bertujuan mendapatkan data dasar kependudukan dan perumahan yang sangat penting dan strategik kepada negara.

Data itu bukan sahaja diperlukan oleh kerajaan dan sektor perniagaan, malah juga oleh masyarakat umum, untuk berbagai kepentingan pembangunan dalam lima hingga 10 tahun akan datang.

Ia berbeza daripada banci yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Esok, untuk pertama kalinya dalam sejarah, setiap penduduk akan dibanci secara lengkap. Para petugas banci akan mencatat nama, alamat, umur, jenis kelamin, pendidikan, kesihatan, hingga status tenaga kerja saudara-saudara.

"Akan dicatat juga maklumat berkaitan kemudahan perumahan, akses ke media komunikasi dan berbagai maklumat lainnya, sesuai dengan ciri-ciri banci tahun ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain