suria

16 Cedera, Askar Bertempur Dengan Penunjuk Perasaan

BANGKOK: Enam belas penunjuk perasaan anti-kerajaan cedera bila mereka bertempur dengan askar dekat Memorial Nasional, di sini hari ini.

Menteri Kesihatan Awam, Jurin Laksanawisit berkata, dua daripada mereka kritikal.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak dapat mengesahkan ketika ini sama ada seorang askar terbunuh akibat cedera ditembak di bahagian kepala semasa pertempuran itu.

Pertempuran tercetus kira-kira 2 petang bila askar-askar yang dikerahkan semasa keadaan darurat sekarang cuba menahan konvoi penunjuk perasaan kemeja merah yang menaiki motosikal dan trak pikap.

Penunjuk perasaan itu dalam perjalanan dari pangkalan utama mereka di persimpangan Ratchaprasong, pusat pelancongan dan beli belah utama bandaraya ini ke Pasar Talad Thai, di sini sebagai sebahagian daripada rali bergerak mereka bagi menarik sokongan rakyat.

Askar-askar itu melepaskan hanya peluru getah sementara penunjuk perasaan menggunakan batu dan kayu. Kerajaan memberi amaran semalam bahawa mereka akan mengambil tindakan tegas jika penunjuk perasaan meninggalkan kawasan perhimpunan mereka dan bergerak ke kawasan lain tetapi "United Front for Democracy against Dictatorship" (UDD) yang mengetuai protes itu meneruskan rancangan mereka untuk melakukan rali bergerak hari ini.

Indeks komposit Bursa Saham Thailand (SET) merosot 12.51 mata atau 1.64 peratus hingga ditutup pada 749.49 mata hari ini.

Protes itu yang dilancarkan sejak 12 Mac bertujuan mendesak kerajaan membubarkan parlimen, supaya pilihan raya baru dapat diadakan.

Pada 7 April, kerajaan mengisytiharkan keadaan darurat di seluruh wilayah Bangkok, Nonthaburi dan beberapa daerah Samut Prakan, Pathum Thani, Nakhon Pathom dan Ayuthaya.

Dua puluh lima orang terdiri daripada 20 orang awam dan lima askar terbunuh dan lebih 800 cedera pada pertempuran 10 April bila pasukan keselamatan cuba menguasai kembali kawasan protes dekat Din So Road, di sini.

Pada 22 April, seorang terbunuh dan 80 yang lain cedera bila lima grenade dilepaskan dari pelancar M79 di stesen tren udara Sala Daeng di sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain