suria

MAS Perkenal Kad Penuntut "Grads" Di UAE

DUBAI: Diskaun tambang udara, tambahan berat bagasi dan pakej percutian merupakan sebahagian daripada faedah yang menanti penuntut di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang menyertai kad penuntut Malaysia Airlines (MAS) yang dikenali sebagai GRADS.

Kad tersebut dilancarkan oleh syarikat penerbangan itu di sini pada Sabtu sempena dengan Pameran dan Latihan Pendidikan Teluk 2010 yang menyaksikan penyertaan Pusat Promosi Pendidikan Malaysia (MEPC) yang beribu pejabat di sini dan sembilan universiti Malaysia.

Pengurus Rantau MAS bagi Timur Tengah dan Afrika, Merina Abu Tahir, berkata GRADS dibuka kepada penuntut berumur 12 tahun ke atas yang sedang menuntut di sekolah yang diiktiraf kerajaan dan sekolah atau institusi yang diberikan tauliah sebagai pengajian tinggi di Dubai atau di luar negara.

"Mereka mestilah penuntut sepenuh masa dengan sekurang-kurangnya masih tinggal enam bulan lagi pada masa membuat permohonan," kata beliau.

Dengan yuran keahlian hanya AS$10 setahun, ahli GRADS boleh memperoleh tambahan berat bagasi sebanyak 10kg semasa mereka mengembara ke mana-mana destinasi MAS di seluruh dunia untuk pengajian tinggi.

Ahli GRADS hanya perlu mengemukakan kad itu yang sah laku di kaunter daftar masuk untuk menikmati tambahan berat bagasi.

Kad itu juga membolehkan ahli menikmati diskaun di beberapa rakan cawangan barang niaga. Penuntut yang menyertai GRADS akan juga secara automatik menjadi ahli "Enrich" MAS, program bagi mereka yang kerap menaiki syarikat penerbangan ini.

Mereka perlu memuat turun untuk mendapatkan borang permohonan secara dalam talian dan mendaftar di pejabat MAS Dubai.

Penuntut dikehendaki mengemukakan kad pengenalan pelajar/kad metrik yang sah laku atau surat tawaran/kemasukan dari universiti yang layak semasa pendaftaran. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain