suria

144 Cedera Dalam Operasi Roboh Bangunan Haram Sekitar Makam

JAKARTA: Operasi merobohkan bangunan-bangunan haram sekitar makam seorang tokoh yang dipercayai penyebar agama Islam di Jakarta Habib Hasan Muhammad Al Hadad yang lebih dikenal sebagai Mbah Priok, berakhir dengan 144 orang tercedera.

Ia berpunca daripada salah faham orang ramai yang menyangka pegawai penguatkuasa berhasrat hendak merobohkan makam itu, sedangkan mereka sebenarnya hendak membersihkan kawasan berkenaan dan membina monumen di makam itu.

Ketua Polis Daerah Metro Jaya, Wahono berkata daripada yang cedera itu, 10 orang adalah anggota polis, 69 pegawai penguatkuasa pihak berkuasa tempatan dan 53 lagi orang awam.

Tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu, katanya.

Sejak pagi ini orang ramai cuba menghalang pegawai penguatkuasa daripada memasuki kawasan makam itu dengan membaling batu, selain menggunakan pedang samurai dan bom petrol.

Orang ramai yang terbabit turut membakar beberapa kenderaan pegawai penguatkuasa.

Akibat kejadian itu operasi petang ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Makam berkenaan terletak di kawasan pelabuhan Tanjung Priok, Jakarta sejak lebih 100 tahun lalu.

Kerana ketokohan Mbah Priok, masyarakat tempatan menjadikan makam beliau sebagai tempat ziarah dan menjalankan berbagai kegiatan keagamaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain