suria

Bekas Koresponden Yang Dipenjara Kerana Kes Dadah Kembali Bertugas Di ABC

MELBOURNE: Bekas koresponden luar negara Peter Lloyd akan menyambung semula tugasnya sebagai wartawan penyiaran di Australian Broadcasting Corporation (ABC) minggu ini, hampir dua tahun selepas dia ditangkap dan dipenjarakan di Singapura atas kesalahan dadah.

Akhbar The Australian melaporkan bekas koresponden di Asia Tenggara itu ditahan ketika bercuti di Singapura pada Julai 2008 dan didakwa atas lima tuduhan termasuk mengedar dan memiliki methamphetamine.

Dia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sehingga 15 sebatan rotan tetapi pihak berkuasa Singapura menggugurkan tuduhan mengedar dadah selepas Lloyd bersetuju untuk mengaku bersalah atas tuduhan yang lebih ringan iaitu menggunakan dadah itu tanpa kebenaran dan memiliki peralatan untuk menggunakan dadah.

Bapa kepada dua anak ini dipenjara 10 bulan sebelum dibebaskan awal kerana berkelakuan baik Jun lepas.

Lloyd akan bertugas untuk program berita ABC 'Lateline' sebagai penerbit kanan, iaitu peranan di belakang tabir.

"Saya berbesar hati memaklumkan Peter Lloyd akan bertugas semula dengan berita ABC bermula minggu depan," pengarah berita ABC Kate Torney memaklumkan perkara itu melalui memo dalaman.

"Selepas beberapa hari menjalani latihan tentang sistem baru di bilik berita kita, Peter akan bekerja sebagai wartawan penyiaran kanan Lateline.

"Dengan skil kewartawanan yang tinggi dan berpengalaman, kemahiran Peter adalah nilai tambahan yang sangat berharga kepada pasukan berita ABC dan saya mengalu-alukan kepulangan beliau."

Mahkamah Singapura diberitahu wartawan berpengalaman itu yang menyertai ABC pada 1988, menagih dadah setelah mengalami tekanan selepas membuat liputan berita bencana seperti tsunami dan siri pengeboman di Bali.

ABC memecat pekerjanya itu atas alasan beliau tidak dapat bertugas tetapi menyatakan beliau boleh memohon semula pekerjaan itu apabila telah kembali ke tanah air. - BERNAMA

Artikel Lain