suria

Pilihan Raya Presiden: Duta Sudan Ke Malaysia Cipta Sejarah

KUALA LUMPUR: Duta Sudan ke Malaysia Nadir Yousif Eltayeb mencipta sejarah dan diberikan penghormatan menjadi orang pertama dari negara Afrika itu untuk mengundi pada Pilihan Raya Presiden Sudan yang bermula hari ini.

Kedutaan itu, yang terletak di Jalan Ampang di sini, juga mencipta sejarah dengan menjadi pusat mengundi yang pertama dibuka untuk pilihan raya presiden itu, dalam pilihan raya pelbagai parti yang diadakan buat kali pertama selepas tempoh 24 tahun. Ini semua berlaku berikutan perbezaan waktu, di mana Malaysia lima jam lebih cepat daripada Sudan.

Nadir mengundi pada pukul 11 pagi tadi, sebaik sahaja pusat pengundian dibuka di kedutaan itu, yang bertempat di sebuah banglo dua tingkat.

Pusat pengundian di Sudan dibuka dari 8 pagi hingga 6 petang waktu tempatan, iaitu dari pukul 1 tengah hari hingga 11 malam di Malaysia.

Pengundian di kedutaan itu diadakan selama tiga hari bermula hari ini, dari pukul 11 pagi hingga 11 malam.

"Proses pengundian akan berakhir Selasa dan selepas itu, pengiraan undi akan terus dijalankan," kata Nadir kepada Bernama dalam satu temubual menerusi telefon.

Presiden Omar Hassan Al-Bashir mengundi pada pukul 12 tengah hari (masa Sudan) di Khartoum.

Al-Bashir yang memegang jawatan itu pada 1989 mempertahankan jawatannya menentang 11 calon yang lain dalam pilihan raya pelbagai parti yang pertama sejak 1986.

Nadir berkata Kedutaan Sudan di sini juga diberikan keistimewaan sebagai satu-satunya pusat mengundi di rantau Asia, bermakna bahawa rakyat Sudan yang tinggal atau bekerja di Asia dan mendaftar sebagai pengundi, terpaksa datang ke sini untuk mengundi.

Beliau berkata kedutaan itu dipilih menjadi pusat mengundi untuk rantau Asia kerana Malaysia mempunyai jumlah warga Sudan yang terbesar di Asia, dengan bilangan pelajar sahaja kira-kira 3,000.

Nadir berkata sejumlah 504 warga Sudan di Malaysia dan negara-negara Asia yang lain termasuk Thailand telah mendaftar untuk mengundi pada pilihan raya presiden.

"Saya percaya sekurang-kurangnya 80 peratus daripada mereka akan datang untuk mengundi sebelum pengundian ditutup pada Selasa," katanya sambil menambah, bahawa sehingga pukul 9.30 malam ini kira-kira 120 orang telah mengundi.

Nadir berkata pengundian di Kuala Lumpur juga dihadiri oleh empat pemerhari bebas untuk melihat proses pengundian di sini.

Sewaktu pengundian tiga hari itu, kira-kira 16.5 juta pengundi berdaftar akan memilih presiden negara itu, pemimpin wilayah selatan yang separa-autonomi, anggota parlimen, anggota dewan undangan negeri dan gabenor.

Pilihan raya itu diadakan selama tiga hari kerana saiz dan infrastruktur negara terbesar di Afrika itu, yang mempunyai kira-kira 42 juta penduduk. Keputusan dijangka diketahui pada 18 April. -BERNAMA

Artikel Lain