suria

Tourism Malaysia Anjur "Faces of 1Malaysia Festival" Di Washington DC

NEW YORK: Tourism Malaysia akan mengadakan pameran kebudayaan dan kesenian yang mengetengahkan semangat dan konsep 1Malaysia di Washington DC pada 10 dan 11 April, sewaktu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di bandar raya itu.

Acara yang mempamerkan keunikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai negara yang kaya dengan kebudayaan dan kesenian unik.

Berlangsung di premis National Geographic Society, yang mempelopori penerangan kepada masyarakat Amerika Syarikat menerusi media visual dan penerbitan dokumentari televisyen mengenai geografi, kekayaan flora dan fauna, kebudayaan serta kepelbagaian unik Malaysia, acara yang dinamakan "Faces of 1Malaysia Festival" itu akan dirasmikan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Salahuddin Mohd Ariffin, Timbalan Presiden Tourism Malaysia di New York, memberitahu Bernama bahawa "satu program kebudayaan yang rapi dan teliti" akan dipersembahkan pada acara yang terbuka kepada orang ramai dan dihadiri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Kami akan mempersembahkan tarian Dikir Bertingkah pada majlis perasmian.

"Selepas ucapan Wanita Pertama Malaysia, satu majlis perasmian yang melambangkan persahabatan antara Malaysia dan Amerika akan diadakan, diikuti dengan persembahan kebudayaan suku kaum rakyat Malaysia," kata Salahuddin.

Katanya lokasi itu merupakan tempat yang paling sesuai untuk memperkenalkan kekayaan dan keunikan Malaysia di ibu negara Amerika.

Selain jualan produk kraftangan dari Malaysia, demonstrasi membuat kraf dan barangan keseniaan, promosi pakej pengembaraan dan pelancongan, promosi hidangan makanan Malaysia akan diadakan sempena acara itu.

Satu persembahan peragaan busana Malaysia akan turut diadakan manakala majlis kemuncak Malaysia Gala Night pada 13 April akan diadakan di Mandarin Oriental Hotel dengan tetamu kehormat ialah Perdana Menteri.

Selain Tourism Malaysia, organisasi lain yang menyertai festival itu adalah Malaysia Airlines, Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka, Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser di Pahang, Lembaga Pelancongan Sabah, Jabatan Pelancongan Johor, Lembaga Pelancongan Sarawak dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Sembilan. - BERNAMA

Artikel Lain