suria

Asean Tubuh Suruhanjaya Mengenai Wanita Dan Kanak-Kanak

HANOI: Mengakui bahawa 50 peratus daripada penduduk Asean yang berjumlah 550 juta orang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, perkumpulan itu akan mengambil inisiatif utama bagi melindungi hak serta kedudukan mereka dengan menubuhkan sebuah suruhanjaya, esok.

Penubuhan Suruhanjaya Asean mengenai Perlindungan Hak Wanita dan Kanak-kanak pada Sidang Kemuncak Asean yang sedang berlangsung di sini, bertujuan meningkatkan lagi kehidupan mereka, kata Timbalan Menteri Buruh, Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Vietnam Nguyen Trong Dam.

Beliau berkata suruhanjaya berkenaan akan dilancarkan semasa mesyuarat peringkat menteri Majlis Sosio-Budaya Asean di Pusat Konvensyen Nasional di sini.

"Suruhanjaya itu akan menggariskan program konkrit dalam membantu wanita dan kanak-kanak Asean," katanya.

Penubuhan suruhanjaya itu sejajar dengan wawasan untuk mewujudkan Komuniti Asean menjelang 2015 berdasarkan tiga tonggak termasuk Komuniti Sosio-Budaya Asean.

Perkumpulan 10 anggota itu mahu membentuk Komuniti Asean berdasarkan acuannya sendiri dan berusaha ke arah mewujudkan masyarakat penyayang, memberi tumpuan kepada pembangunan sosial, pendidikan dan pembangunan sumber manusia serta kesihatan awam di bawah tonggak Komuniti Sosio-Budaya Asean.

Dua tonggak lagi ialah Komuniti Ekonomi Asean dan Komuniti Politik-Keselamatan Asean.

Pewujudan suruhanjaya itu merupakan satu daripada tiga inisiatif utama pada sidang kemuncak itu selain daripada dua pernyataan mengenai perubahan iklim dan mengekalkan pemulihan ekonomi serta pembangunan.

Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) yang diwujudkan ketika Sidang Kemuncak Asean di Hua Hin, Thailand, tahun lepas juga adalah sebahagian daripada inisiatif ke arah membangunkan Komuniti Asean menjelang 2015. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain