suria

Asean Terjemah Visi Kepada Tindakan

HANOI: Sidang kemuncak Asean selama empat hari di ibu negara ini mulai esok, akan merealisasikan impian 10 negara anggota kumpulan ini menjadi satu masyarakat tunggal dalam masa lima tahun akan datang.

Piagam Asean dan Pelan Rancangan untuk Masyarakat Asean menjelang 2015 telah menetapkan visi dan rangka kerja anggota negara Asean untuk memasuki satu tahap kerjasama yang baru.

Sehubungan itu, Asean telah memilih sidang kemuncak ke-16 ini yang bertemakan "Ke Arah Masyarakat Asean: Daripada Visi kepada Tindakan" selaras dengan keazaman dan kesungguhan mengenai impian itu.

Masyarakat Asean itu berpusat pada tiga tunggak: Masyarakat Keselamatan-Politik Asean, Masyarakat Ekonomi Asean dan Masyakarat Sosio-budaya Asean.

Hasrat itu ialah untuk membina Masyarakat Asean yang memaparkan politik dan interaksi keselamatan serta pengurusan yang lebih besar, satu pasaran tunggal dan pangkalan pengeluaran dengan aliran barangan, perkhidmatan, pelaburan modal dan buruh mahir yang bebas.

Kumpulan itu juga bertujuan untuk satu masyakarat prihatin, tumpuan terhadap pembangunan sosial, pendidikan dan pembangunan sumber manusia, kesihatan awam, kebudayaan dan maklumat, serta perlindungan alam sekitar dalam mewujudkan sebuah kumpulan yang berdasarkan ciptaannya sendiri.

Asean telah menghasilkan pelan induk untuk tiga tunggak masyarakat itu bertujuan mengukuhkan lagi kerjasama dan penyelarasan dalam sektor yang relevan di kalangan negara anggota Asean.

Piagam Asean yang berkuatkuasa pada 15 Dis, 2008 meletakkan satu perundangan baru dan rangka kerja institusi untuk Asean bagi memperbaiki pelaksanaan, penyelarasan dan proses pembuat keputusan.

Mesyuarat itu dimulakan dengan peringkat pegawai kanan hal ehwal luar, ekonomi serta sektor sosio-budaya yang mewakili tiga tunggak Masyarakat Asean di Pusat Konvensyen Nasional (NCC) di sini pada Selasa.

Mereka akan mencadangkan untuk perbincangan dan pertimbangan menteri masing-masing pada hari Rabu sebelum 10 ketua-ketua negara itu mengadakan perbincangan terakhir dan menerimanya pada hari Khamis.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu.

Ketua-ketua kerajaan dari Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Kemboja, Myanmar, Laos, Thailand dan Vietnam dijadual menghadiri sesi pemukiman di NCC pada Jumaat ini, hari terakhir.

Timbalan Menteri Luar Vietnam Dao Viet Trung memberitahu taklimat akhbar minggu lepas bahawa para pemimpin itu dijangka meluluskan dua kenyataan: mengenai pemulihan dan pembangunan lestari dan yang lain berkaitan menghadapi perubahan iklim.

"Buat pertama kali, sesi plenari diadakan antara pemimpin Asean, menteri dan ketua ketiga-tiga masyarakat Asean untuk menunjukkan keazaman mereka untuk mempercepatkan pengwujudan satu Masyarakat Asean," kata beliau.

Suruhanjaya Asean mengenai Promosi dan Perlindungan Hak-hak Wanita dan Kanak-kanak dijangka dilancarkan semasa sidang kemuncak itu.

Tidak ada papan paparan besar, tidak ada pintu gerbang, tidak ada sepanduk selamat datang besar untuk perwakilan dan lampu neon yang menarik dari lapangan terbang ke bandar raya ini kerana negara tuan rumah menumpukan perhatian pada isi kandungan sidang kemuncak itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Pilihan Raya Britain 6 Mei

Artikel Berikut

Artikel Lain