suria

Pilihan Raya Britain 6 Mei

LONDON: Perdana Menteri Britain, Gordon Brown mengumumkan pilihan raya umum negara itu akan diadakan pada 6 Mei ini sambil memberi amaran bahawa pembangkang, Parti Konservatif akan membahayakan proses pemulihan ekonomi yang sedang rancak dijalankan sekarang.

"Itulah sedikit rahsia yang kita ada selama ini tetapi ratu telah bersetuju untuk membubarkan Parlimen dan pengundian akan diadakan pada 6 Mei," kata pemimpin Parti Buruh itu kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Brown mengadap Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham bagi memohon supaya Parlimen dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya diadakan.

Turut bersamanya ialah Menteri Kewangan, Alistair Darling dan Timbalan Ketua parti pemerintah, Harriet Harman.

Brown berkata, pemulihan ekonomi daripada kemelesetan yang sangat teruk merupakan modal kempen Parti Buruh sepanjang musim pilihan raya itu nanti.

"Britain ketika berada pada landasan betul untuk pemulihan dan kita jangan meletakkan sebarang risiko ke atas proses itu," katanya.

Beliau menambah mahu memperoleh mandat yang jelas daripada rakyat bagi meneruskan polisi pemulihan ekonominya itu.

Berdasarkan tinjauan mendapati bahawa saingan amat sengit antara kerajaan dan pembangkang iaitu Konservatif yang dipimpin oleh David Cameron.

Sebahagian pendapat menyebut, tidak ada mana-mana parti yang akan memperoleh majoriti di Parlimen yang dikenali sebagai situasi Parlimen tergantung yang tidak pernah terjadi di Britain sejak tahun 1974.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain