suria

Usaha Realisasikan Pembentukan Komuniti Asean Terus Dipergiat

HANOI: Sidang Kemuncak Asean yang berakhir semalam meningkatkan momentum usaha pertubuhan 10 anggota itu ke arah mencapai wawasannya bagi melahirkan sebuah Komuniti Asean menjelang 2015.

Para pemimpin yang menghadiri persidangan dua hari itu berjaya mengenal pasti kemajuan dan kelemahan dalam pelaksanaan pelan bertindak ke arah mencapai matlamat tersebut di negara masing-masing.

Pelan bertindak yang diterima pakai pada sidang kemuncak sebelum ini telah menggariskan tindakan yang perlu diambil bagi melahirkan Komuniti Asean yang berlandaskan tiga tonggak kerjasama Komuniti Politik-Keselamatan Asean, Komuniti Ekonomi Asean dan Komuniti Sosio-Budaya Asean.

Asean perlu membuktikan kemampuannya menjadi model peranan sebuah pertubuhan serantau yang berjaya dan mampu menjamin kemakmuran komunitinya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Segala usaha perlu dilakukan bagi menjadikan wawasan itu suatu kenyataan agar imej serta kerelevanan Asean dapat diletakkan di tahap baru," katanya.

Satu daripada hasil penting yang dicapai pada sidang kemuncak itu ialah penubuhan Suruhanjaya Asean mengenai Pemupukan dan Perlindungan Hak Wanita dan Kanak-kanak.

Antara matlamat suruhanjaya itu ialah untuk menjamin keadilan dan kesamarataan dapat dinikmati oleh dua kumpulan tersebut, yang merangkumi 50 peratus daripada keseluruhan 550 juta penduduk Asean.

Tahun lepas, Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean mengenai Hak Asasi Manusia telah ditubuhkan bagi melindungi hak asasi manusia dan kebebasan asas penduduk di negara anggota Asean.

Kesemua langkah tersebut bertujuan menyumbang kepada kesejahteraan Komuniti Asean yang berasaskan acuannya sendiri.

Bagaimanapun, kempen kesedaran perlu dipertingkatkan bagi memupuk semangat kekitaan dalam kalangan Komuniti Asean, di samping memelihara identiti budaya dan kepelbagaian yang wujud dalam kalangan anggotanya.

Dua kenyataan oleh para pemimpin Asean tentang pemulihan dan pembangunan lestari serta respons bersama mereka terhadap perubahan iklim, telah dikeluarkan pada sidang kemuncak itu.

Integrasi ekonomi Asean pula pasti menjadi semakin kukuh pada tahun ini berikutan termeterainya dua perjanjian penting bagi meliberalkan pergerakan perdagangan dan pelaburan di rantau ini.

Perjanjiaan Perdagangan Barangan Asean (ATIGA) akan dilaksanakan bulan depan, manakala Perjanjian Pelaburan Komprehensif Asean (ACIA) dilaksanakan pada Oktober.

ATIGA, yang sepatutnya mula berkuat kuasa 1 Januari tahun ini sebagai sebahagian daripada Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA), tidak menjadi kenyataan kerana Thailand dan Filipina masih belum menandatangani perjanjian itu kerana berbeza pendapat tentang tarif import beras dan gula.

Bagaimanapun, isu itu berjaya diselesaikan apabila mereka menandatanganinya pada sidang kemuncak ini, manakala Indonesia pula bersetuju untuk menandatangani ACIA tidak lama lagi.

Dengan berakhirnya Sidang Kemuncak Asean ke-16 semalam, pertubuhan serantau itu perlu mengotakan janjinya untuk berusaha mewujudkan masa depan yang lebih cerah bagi komunitinya di Brunei, Indonesia, Thailand, Malaysia, Singapura, Filipina, Kemboja, Myanmar, Laos dan Vietnam. - BERNAMA

Artikel Lain