suria

Setiausaha Agung OIC Ucap Takziah Atas Kematian Presiden Poland

DUBAI: Setiausaha agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Prof Ekmeleddin Ihsanoglu menyertai para pemimpin dunia lain mengutuskan ucapan takziah atas kematian presiden Poland Lech Kaczynski dalam nahas kapal terbang di barat Russia, semalam.

Dalam kenyataannya, badan yang mewakili umat Islam sedunia dan beribu pejabat di Jeddah itu berkata Ihsanoglu menyampaikan ucapan tersebut dalam perutusan beliau kepada Menteri Luar Poland Radoslaw Sikorski.

"Setiausaha agung OIC menyatakan bahawa beliau serta Sekretariat Umum OIC mengiringkan ingatan serta doa bagi keluarga mereka yang telah kehilangan nyawa dan seluruh rakyat Poland," kata kenyataan itu.

Isteri Kaczynski serta beberapa pegawai tertinggi kerajaan dan tentera Poland turut terkorban dalam nahas itu, yang berlaku ketika pesawat Tupolev-154 yang membawa mereka, cuba mendarat dalam keadaan cuaca berkabus tebal.

Presiden berusia 60 tahun itu serta anggota rombongannya menaiki pesawat berkenaan untuk ke Russia bagi menghadiri sambutan ulang tahun ke-70 peristiwa pembunuhan kira-kira 20,000 tahanan perang Poland oleh Russia di sebuah kampung bernama Katyn. - BERNAMA

Artikel Lain