suria

Pasukan Bola Sepak Wanita Iran Dilarang Bertanding Kerana Memakai Hijab

SINGAPURA: Pasukan bola sepak wanita Iran dilarang oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) daripada mengambil bahagian pada kejohanan sulung Sukan Olimpik Remaja yang bakal diadakan di republik ini Ogos ini kerana pemainnya akan memakai hijab.

Sehubungan itu FIFA telah mencalonkan Thailand bagi menggantikan Iran dalam kejohanan yang akan bermula dari 14 hingga 26 Ogos.

Menurut laman web Persekutuan Bola Sepak Asia larangan itu dibuat berikutan arahan FIFA berhubung peralatan pemain.

Di bawah peraturan FIFA, memakai hijab adalah tidak selaras dengan undang-undang kejohanan. Dilaporkan bahawa FIFA telah memaklumkan kepada Jawatankuasa Olimpik Iran bahawa Thailand telah dicalon untuk menggantikan Iran.

Dalam surat kepada Persekutuan Bola Sepak Iran, Setiausaha Agung FIFA, Jerome Valcke menulis bahawa selepas mempertimbang kedudukan yang dinyatakan oleh Majlis Olimpik Kebangsaan Iran, FIFA tidak mempunyai pilihan tetapi terpaksa membuat keputusan melarang Persekutuan Bola Sepak Iran daripada kejohanan tersebut.

Kira-kira 3,600 atlet berumur antara 14 hingga 18 tahun akan bertanding dalam 26 acara sukan dan kebudayaan di kejohanan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain