suria

Qantas Batal Semua Penerbangan Ke Eropah

MELBOURNE: Qantas telah membatalkan kesemua penerbangannya keluar dari Australia menuju ke Eropah hari ini berikutan penyebaran abu dari ledakan gunung berapi di Iceland, yang terus menjejaskan para pengembara.

Zon tidak boleh terbang yang dikenakan di seluruh Eropah berikutan ledakan itu dijangka terus berkuat kuasa sehingga hujung minggu, yang menyebabkan kegawatan penerbangan bagi lebih sejuta penumpang udara.

Kira-kira 1,000 penumpang Qantas yang dalam perjalanan ke Britain telah terkandas di Singapura, kata jurucakap Qantas David Epstein.

Seramai 350 lagi berada di Hongkong dan bilangan yang sama di Bangkok.

Para penumpang itu kini disediakan baucar penginapan dan makanan walau pun bilik terhad disebabkan bilangan penumpang yang terkandas di Asia.

Epstein memberi amaran kepada para penumpang bahawa keadaan itu dijangka berlanjutan sehingga Ahad bagi kesemua penerbangan sebelum memulakan semula jadual biasa masing-masing.

Singapore Airlines turut menasihati para penumpang yang mahu meninggalkan Australia menuju lapangan terbang yang ditutup di Eropah, sepaya tidak pergi ke lapangan terbang.

Kira-kira 2,000 penumpang rakyat Australia terlibat. - BERNAMA

Artikel Lain